Tindakan Adun Komtar Bukti Keangkuhan DAP - Tun Abdullah - Berita Semasa | mStar

Tindakan Adun Komtar Bukti Keangkuhan DAP - Tun Abdullah

Diterbitkan: Isnin, 10 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEPALA BATAS: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan perbuatan kasar Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar Ng Wei Aik terhadap peniaga nasi kandar Syed Kassali Mohamad Aliyar sebagai tindakan yang angkuh.

Abdullah, yang juga anggota Parlimen Kepala Batas, berkata adalah tidak wajar bagi Ng mencampuri urusan penguatkuasaan dengan mengambil tindakan sendiri terhadap Syed Kassali.

"Dulu mereka (DAP) tuduh kita sombong, kita (Umno) angkuh, rupa-rupanya mereka yang angkuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ulul Albab di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas di sini, Isnin.

Abdullah diminta mengulas tindakan Ng yang hadir bersama-sama beberapa orang dan mengarahkan penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menyita barangan di restoran milik Syed Kassali pada 2 Januari lepas.

Akhbar melaporkan Ng, yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng, secara kasar merampas barangan di premis itu tanpa sebarang notis.

Abdullah berkata Ng sepatutnya hanya perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jika beliau mendapati peniaga berkenaan melakukan sebarang kesalahan undang-undang.

"Di mana-mana pun kita tak boleh guna kekuatan sendiri. Kalau tidak merujuk kepada apa-apa peraturan yang telah ditetapkan, tak boleh dan itu tak kena cara," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan