Nilai Murni Rakyat Australia Perlu Diteladani - Raja Muda Perlis

Diterbitkan: Ahad, 9 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ada antara nilai murni yang menjadi budaya rakyat Australia boleh diteladani rakyat negara ini.

Baginda bertitah antara amalan murni rakyat Australia itu ialah mementingkan kebersihan, peka terhadap alam sekitar, bersopan dan menghormati pelanggan, berdisplin, bertanggungjawab serta jujur.

Bertitah pada majlis pertemuan semula peserta Program Jelajah Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Australia di sini hari ini, baginda yakin budaya itu jika diamalkan akan turut membantu mempercepatkan proses menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Pada majlis itu anggota program Jelajah Ilmu UniMAP yang disertai 50 peserta itu menceritakan pengalaman masing-masing dan menyenaraikan apa yang boleh dicontohi daripada budaya rakyat Australia.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama ialah Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Dr Zainul Ariff Hussain.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan