Lawatan Muhyiddin Ke AS Kesinambungan Usaha Dilakukan Najib - Jamaludin

Diterbitkan: Ahad, 9 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BOSTON: Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Amerika Syarikat (AS) bermula Isnin, amat bermakna dalam kesinambungan usaha yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan kuasa besar dunia itu.

Duta Malaysia ke AS Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berkata lawatan Muhyiddin itu akan meningkatkan lagi kerjasama sedia ada antara Malaysia-AS dalam bidang yang memberi keuntungan kepada kedua-dua negara terutamanya perdagangan.

Beliau membayangkan perkara itu kepada wartawan Malaysia yang berada di sini, bagi membuat liputan lawatan kerja Muhyiddin selama enam hari ke Boston dan Washington, bermula Isnin sehingga 14 Januari.

"Perdana Menteri merasakan inilah peluang terbaik untuk melihat kembali hubungan kita dengan AS kerana ekonomi mereka besar, lebih banyak pelabur akan datang ke Malaysia dan banyak barangan kita boleh dieksport ke AS.

"Sebab itu Tan Sri Muhyiddin akan turut mengadakan lawatan ke Washington untuk meneruskan usaha-usaha Perdana Menteri supaya Malaysia menjalinkan kembali hubungan baru dengan AS kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh," katanya.

Jamaludin berkata usaha-usaha yang dilakukan Najib untuk menjalinkan hubungan dengan AS sebelum ini, disambut baik oleh Presiden AS Barack Obama dan pentadbirannya dan sentimen negara kuasa besar itu terhadap Malaysia telah berubah.

Beliau berkata hubungan baik itu dapat dilihat apabila Perdana Menteri merupakan dua pemimpin Asia selain dari China, yang diberi peluang mengadakan perbincangan dua hala dengan Obama di luar Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington, pada April tahun lepas serta diberi peluang bersama ketua kerajaan Asean bertemu Obama, ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-65 di New York September tahun lepas.

Katanya banyak faedah yang boleh diperoleh Malaysia dalam menjalinkan hubungan dengan AS dan langkah negara itu menyenaraikan Malaysia sebagai negara dalam rundingan perdagangan membentuk rakan kerjasama AS di rantau Asia Pasifik iaitu Perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP), merupakan kejayaan yang perlu diberi perhatian oleh rakyat Malaysia.

"Malaysia telah dijemput menyertai kumpulan TPP supaya kita dapat meningkatkan perjanjian perdagangan dengan AS. Kedua-dua pentadbiran Malaysia-AS menetapkan hujung tahun ini untuk memuktamad perjanjian itu. "Saya melihat ini satu petanda yang baik kerana biasanya apabila AS hendak menjemput sesebuah negara untuk mulakan perdagangan perlu mendapat kelulusan kongres mereka dan selalunya memakan masa tiga bulan.

"Namun AS melihat bahawa dengan hubungan baru yang ada dengan Malaysia, mereka kecualikan proses ini," katanya.

Selain Malaysia yang pertama kali menyertai kumpulan berkenaan, TPP disertai AS, Brunei, Australia, New Zealand, Chile, Peru, Singapura dan Vietnam.

Jamaludin berkata melalui perjanjian perdagangan itu, banyak produk pertanian dan produk halal Malaysia boleh dieksport ke AS dan ia sudah tentu memberi keuntungan kepada negara.

Dalam usaha mempromosikan produk pertanian negara terutama buah-buahan tempatan di sini, Jamaludin berkata beliau bercadang mengadakan promosi berkenaan sempena lawatan Perdana Menteri ke AS yang dijadualkan pada tahun ini.

Beliau berkata antara aturcara yang ditetapkan sempena lawatan kerja Muhyiddin ke sini ialah mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden AS Joe Biden dan Setiausaha Negara AS Hillary Rodham Clinton.

Di samping itu, beliau berkata Muhyiddin juga dijangka mengadakan pertemuan dengan tokoh korporat dan pegawai kerajaan AS bagi menerangkan usaha-usaha yang dilakukan Perdana Menteri dalam menjalinkan hubungan dengan AS serta menyampaikan mesej menggalakkan pelaburan ke Malaysia selain mendengar pandangan mereka.

"Kedua-dua tokoh berkenaan bersetuju untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri pada Khamis dan Jumaat ini di Washington dan ini memberi petanda bahawa AS memberi penghormatan kepada negara kita," katanya.

Beliau berkata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, akan turut mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia yang menuntut di Boston dan Washington sempena lawatan kerjanya itu.

Muhyiddin dijangka tiba di sini, pada Ahad. Beliau akan berlepas ke Washington pada Khamis dan dijangka pulang ke tanah air dari London pada Sabtu. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 24 Oktober 2017 4:12 PM

Mujur Tak Kena Langgar

Selasa, 24 Oktober 2017 2:47 PM

Nampak Mayat Bergelimpangan...

Selasa, 24 Oktober 2017 9:00 AM

Jom Santai Tajul & Ruhainies Gamat!

Selasa, 24 Oktober 2017 8:30 AM

Penangan Ketam Raja

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Kolumnis

iklan

Iklan