BN Kelantan Sasar Tawan 23 Kerusi DUN - Mustapa

Diterbitkan: Ahad, 9 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MACHANG: Barisan Nasional (BN) Kelantan menyasar memenangi sekurang-kurangnya 23 kerusi daripada keseluruhan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan perubahan dan minat rakyat terhadap Umno dan BN akhir-akhir ini.

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata perubahan sikap turut berlaku di kalangan rakyat di kawasan kubu kuat PAS seperti Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kuala Krai.

"Kerajaan PAS yang memerintah sekarang gagal menangani masalah seperti penyediaan pembekalan air yang sempurna, masalah banjir, berlaku rampasan tanah rakyat di Lojing dan kekurangan kemudahan asas walaupun PAS diberi peluang memerintah Kelantan selama 20 tahun," katanya di sini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata BN akan memberi tumpuan khusus terhadap kawasan yang sukar ditembusi selama ini di samping mengekalkan sokongan di kawasan yang dijangka BN boleh mencapai kemenangan.

Beliau berkata kesemua pemimpin Umno bahagian telah diarah supaya turun padang untuk bertemu rakyat bagi menerangkan mengenai masalah yang gagal diatasi oleh PAS, sehingga menjelang pilihan raya kelak.

Majlis penerangan mengenai isu semasa di Kelantan juga akan dibuat melibatkan pengundi yang berada di luar Kelantan seperti di Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, katanya.

"Sokongan mereka ini yang merupakan 15 peratus daripada jumlah pengundi yang berdaftar di Kelantan sangat perlu bagi merubah senario politik di Kelantan," katanya.

Mengenai kemungkinan berlaku lagi amalan "cah keting" atau sikap menikam dari belakang di kalangan ahli Umno sendiri menjelang pilihan raya, Mustapa berkata perkara itu sudah dapat dibendung.

"Keputusan dua pilihan raya kecil iaitu di DUN Manik Urai dan Galas menjadi bukti dan model apabila tiada kegiatan itu dilakukan oleh mana-mana pihak," jelasnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan