Murid Terkena Asid Berdebar Jalani Pembedahan Esok

Diterbitkan: Sabtu, 8 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kanak-kanak mangsa simbahan asid oleh bapanya sendiri tahun lepas berharap pembedahan plastik yang akan dilalui pada mukanya berjalan sempurna Ahad.

Menurut Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, dia tidak takut dan tidak sabar-sabar untuk menjalani pembedahan bagi memulihkan parasnya.

Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Padang Setar, Kuala Berang itu kini mempunyai parut kekal pada wajahnya setelah disimbah asid dalam satu pertengkaran keluarga yang turut mencederakan ibunya Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, adiknya Muhammad Irfan Firdaus, 3, dan neneknya, Minah Omar, 56.

"Lin tak takut, Lin harap semuanya akan berjalan lancar dan Lin dapat kembali ke sekolah bersama kawan-kawan, seronok sama seperti dulu," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, Sabtu.

Dia akan turut menjalani pembedahan pada bahagian dada.

Semalam Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan berkata pembedahan ke atas Nurul Dahyatul Fazlinda di Hospital Sultanah Nur Zahirah akan diketuai oleh Pakar Perunding Pembedahan Plastik, Dr Najiha Syarida Zakaria.

Ibu mangsa berdoa agar pembedahan itu dapat mengembalikan semula semangat anaknya yang kini berubah menjadi seorang yang pendiam, murung dan tidak suka bergaul dengan orang lain.

"Sebelum kejadian, Lin seorang yang ceria, lincah dan peramah, tapi selepas itu, dia menjadi pendiam. Dia juga malu nak ke sekolah kerana pernah diejek kawan-kawannya," kata Che Ku Zaimah.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan