MB Selangor Nafi Bekas SUK, KSN Maklum Kepadanya Mengenai Pelantikan Khusrin

Diterbitkan: Sabtu, 8 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan bahawa bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor Datuk Ramli Mahmud dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan memaklumkan kepadanya mengenai pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata sebaliknya KS Ntelah menyerahkan senarai nama calon SUK kepada Sultan Selangor melalui Ramli tanpa memaklumkannya kepada Abdul Khalid.

"Menteri Besar menegaskan bahawa beliau telah dibelakangkan dalam semua urusan penyerahan nama ke Istana sebelum 17 Dis, 2010 dan cara ini ternyata tidak menepati prosedur serta membelakangkan Menteri Besar selain mengetepikan amalan telus dan profesional.

"Begitu juga maklumat dari KSN diserahkan kepada Ramli dan beliau tidak memanjangkan kepada Menteri Besar," katanya dalam kenyataan media di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Ramli dalam satu kenyataan berkata beliau telah menyenaraikan lapan nama yang layak dipertimbangkan untuk mengisi jawatan SUK dan senarai nama itu telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor serta salinannya turut diberikan kepada Menteri Besar dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kira-kira tiga bulan sebelum beliau bersara.

Faekah berkata perkara itu terbongkar apabila pada 21 Dis lepas, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani telah menghantar surat kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Dis 2010 yang beliau hantar kepada Ramli berkenaan perkenan Sultan Selangor melantik Mohd Khusrin sebagai SUK.

Beliau berkata antara 10 hingga 21 Dis lepas, Ramli telah menghadiri dua Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dua mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan majlis persaraan beliau tetapi dalam kelima-lima pertemuan itu Ramli tidak pernah menyebut bahawa Sultan Selangor telah memberi perkenan kepada Mohd Khusrin.

"Justeru, kenyataan KSN dan Ramli bahawa Menteri Besar telah dimaklumkan sebelum 21 Dis ternyata salah. Tidak juga terdapat surat berkaitan dengannya sama ada dari KSN mahupun dari Ramli," katanya.

Sehubungan itu, Faekah berkata Menteri Besar berharap KSN dan amnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan sanggup bekerjasama untuk mencari penyelesaian terbaik dalam masa terdekat.

"Tidaklah perlu memanjangkan perkara ini dengan menimbulkan isu lain kononnya Menteri Besar terlewat menghantar nama dan sebagainya. Menteri Besar percaya hanya dengan bertindak secara profesional serta jujur pada amalan, isu ini boleh diselesaikan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan