Khalid Akui Pelantikan Khusrin Sah

Diterbitkan: Khamis, 6 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata beliau menerima pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu Datuk Mohd Khusrin Munawai sebagai sah di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri akan tetap meneruskan cadangan memanggil sidang dewan undangan negeri bagi meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bagi mengembalikan kepada Menteri Besar kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.

Beliau diminta mengulas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya isu pelantikan Khusrin tidak dipolitik dan disensasikan sehingga mengelirukan rakyat.

Abdul Khalid bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini.

Beliau berkata selepas Krisis Perlembagaan pada tahun 1993 Undang-undang negeri yang dipinda tidak lagi menyatakan keperluan kebenaran Menteri Besar untuk melantik ketiga-tiga pegawai eksekutif tertinggi negeri itu sebaliknya ia perlu dilantik oleh Suruhanjaya tertentu.

"Apa saya nak buat jadi saya panggil dewan untuk membolehkan, kalau dapat saya nak membetulkan (bagi) membolehkan Menteri Besar dapat menentukan pemilihan ketiga-tiga (pegawai tertinggi negeri) ini," katanya.

Abdul Khalid juga berkata Khusrin tidak akan dijemput mengangkat sumpah rahsia di hadapan beliau dan anggota exco kerajaan negeri selagi sidang dewan berkenaan tidak selesai.

Menteri Besar berkata: "Perkara membetulkan (pindaan undang-undang) perkara ini saya ingat Sultan pun setuju...sebab mengembalikan kuasa Sultan dan juga Menteri Besar, untuk ini takkan tak setuju".

Abdul Khalid turut ditanya sama ada beliau ada berhubung dengan JPA bagi mendapatkan pegawai-pegawai yang sesuai dan berkelayakan berkhidmat di Selangor.

Menteri Besar berkata beliau telah menghubungi Jabatan Perkhidmatan Awam pada 2009 bagi mendapatkan senarai nama pegawai-pegawai tinggi kerajaan anak Selangor tetapi berkhidmat di luar Selangor untuk dipertimbangkan mengisi jawatan-jawatan pegawai eksekutif kerajaan negeri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan