Kemelut Pelantikan Mohd Khusrin Helah Politik Untuk Cetuskan Krisis Perlembagaan, Kata Zahrain

Diterbitkan: Khamis, 6 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi adalah satu helah politik yang bermatlamat mencetuskan krisis Perlembagaan di Malaysia, kata Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.

Beliau berkata kedegilan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk terus menentang pelantikan Mohd Khusrin dengan mendesak untuk meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri langsung tidak menguntungkan Abdul Khalid.

Katanya ini kerana kerajaan pakatan Selangor tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri untuk membuat apa-apa pindaan.

"Mastermind dalam isu ini bukannya Khalid, beliau hanyalah jurucakap yang membaca skrip sahaja, penulis skrip sebenarnya berada di utara yang dibantu oleh pakar undang-undang Perlembagaan dari luar negara.

"Menteri Besar Selangor hanya menurut perintah Tok Dalang dari utara. Ini hanyalah helah terancang Tok Dalang itu," kata Anggota Parlimen Bebas itu dalam blog beliau www.zahrainmp.blogspot.com di sini Khamis.

Zahrain berkata tindakan menghina Istana dan mencetuskan perasaan bencikan institusi Raja-Raja Melayu seperti yang dilakukan di Selangor mempunyai implikasi yang lebih besar.

"Saya amat risau dengan perkembangan ini dan berharap agar seluruh tenaga dan kuasa politik orang Melayu digembleng bagi mengelak orang Melayu daripada dijajah sekali lagi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan