Selangor Ulangi Pendirian Tidak Sokong Slogan 1Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 5 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sekali lagi mengulangi pendirian mereka dengan tidak membenarkan mana-mana agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) untuk membelanjakan dana rakyat bagi mempromosikan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, kerajaan negeri mengulangi ketetapan untuk tidak menerima penggunaan slogan itu dan disebarkan secara meluas di Selangor.

"Hari ini kami tetap dengan pendirian untuk tidak menerima penggunaan slogan 1Malaysia atas sebab ia slogan hipokrasi yang tidak mempunyai makna jelas dari segi tafsiran dan perlaksanaan.

"Malah slogan itu hanya propaganda BN bagi mempromosikan sokongan berbentuk kepartian dan ia membazir wang rakyat serta pembayar cukai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Rabu.

Bagaimanapun Abdul Khalid berkata, kerajaan Negeri tidak menghalang pemasangan iklan oleh individu untuk tujuan komersial selagi ia tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang sedia ada.

Malah permohonan juga boleh dilakukan kepada pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.

"Kerajaan negeri tidak akan terabit dengan konsep itu yang digambarkan sebagai tidak mencerminkan keadaan dan polisi sebenar kerajaan pusat.

"Kita akan sentiasa mempraktikkan amalan perpaduan sejati bagi mewujudkan negeri yang senang didiami seluruh rakyat pelbagai kaum, bangsa dan kepercayaan agama.

"Oleh itu logo 1Malaysia tidak akan dipaparkan di papan tanda milik Kerajaan Negeri, agensi mahupun anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor. Keutamaan mesej Negeri Selangor lebih tertumpu kepada pelbagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengenai laporan audit dua anak syarikat kerajaangeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor yang sepatutnya siap hari ini, Khalid berkata pihak terbabit memerlukan masa yang lebih bagi menyiapkan laporan tersebut.

"PKNS dan Yayasan telah meminta masa supaya penjelasan mereka dapat dibuat semula kerana ada beberapa fakta audit masih belum diterima.

"Maka pihak Exco benarkan dan kita akan uruskan pada mesyuarat akan datang," katanya.

Siasatan audit itu dipercayai dilakukan ekoran kontroversi perbelanjaan yang melanda kedua-dua anak syarikat kerajaan negeri Selangor baru-baru ini.

Yayasan Selangor disiasat ekoran perbelanjaan RM300,000 bagi majlis ulang tahunnya yang ke-40 sehingga menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kos penganjuran.

Selain itu, semua aktiviti membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS pula dibekukan berikutan dakwaan salah guna kuasa, termasuk tajaan jamuan majlis perkahwinan Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang dilaporkan bernilai lebih RM500,000.

Kenyataan itu juga menyebut kerajaan negeri sedang meneliti laporan audit, termasuk syor oleh Jabatan Audit Negara cawangan Selangor dan Bahagian Audit Dalaman kerajaan negeri, untuk dipertimbangkan sebelum tindakan lanjut diambil.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan