Pelantikan Khusrin Ikut Lunas Perundangan Bukan Berdasar Input Politik: KSN

Diterbitkan: Rabu, 5 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan menjelaskan bahawa pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor adalah teratur dan sah dari segi undang-undang dan bukannya berdasarkan input politik.

Beliau berkata, pelantikan itu dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor dan Peraturan-peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam, 2010 serta terdapat elemen konsultasi dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud.

"Dalam proses pelantikan ini saya tidak mengambil input politik dalam urusan pelantikan tersebut dan tidak merujuk kepada mana-mana Anggota Pentadbiran Persekutuan termasuk Perdana Menteri.

"Urusan tersebut dilaksanakan secara profesional yang hanya melibatkan Ketua Setiausaha Negara (dan Lembaga Kenaikan Pangkat) dengan Kerajaan Negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa proses konsultasi turut dilaksanakan dalam proses pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi negeri-negeri lain yang berkaitan sama ada negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) ataupun yang tidak ditadbir oleh Barisan Nasional termasuk pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam kenyataan itu, Mohd Sidek menghuraikan dengan panjang lebar proses pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dibuat oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan oleh beliau.

Katanya lembaga itu merupakan suatu kuasa yang sah dari segi Perlembagaan Persekutuan dan merupakan 'Suruhanjaya Perkhidmatan berkenaan' menurut Perkara LII (1) Perlembagaan Negeri Selangor.

Menurutnya, berdasarkan Perkara LII Perlembagaan Negeri Selangor, perkataan 'Suruhanjaya Perkhidmatan berkenaan adalah merujuk kepada Suruhanjaya Pelantikan yang membuat pelantikan terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

"Dalam hal ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah daripada pegawai-pegawai awam Persekutuan daripada Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan Suruhanjaya Pelantikan mereka adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana Perkhidmatan PTD itu adalah terjatuh mengikut perkara 132(2)(c) Perlembagaan Persekutuan iaitu 'perkhidmatan awam am persekutuan'. Perkara ini dinyatakan dalam Fasal (1) Perkara 139 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Justeru, katanya dakwaan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dibuat oleh Kerajaan Persekutuan adalah tidak tepat dari segi undang-undang.

Penjelasan Mohd Sidek itu adalah ekoran tindakan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang mempertikaikan pelantikan Mohd Khusrin bagi jawatan itu.

Mohd Sidek turut menjelaskan bahawa Perlembagaan Negeri Selangor tidak menetapkan syarat untuk Sultan Selangor meluluskan suatu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan oleh itu perkenan Baginda dalam pelantikan Mohd Khusrin bukanlah sesuatu keperluan undang-undang tetapi ia lebih kepada suatu kelaziman.

"Apa yang sah dari segi undang-undang ialah pelantikan yang dibuat oleh 'Suruhanjaya Perkhidmatan berkenaan' atau oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang menjalankan kuasa SPA seperti mana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan 144(5B)(i) dan [P.U.(A)75/2010]," kata beliau.

Beliau menjelaskan bahawa Perlembagaan Negeri Selangor tidak menyatakan keperluan untuk Kerajaan Negeri Selangor dirundingi sebelum sesuatu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dibuat dan ia tidak menjejaskan pelantikan tersebut.

Namun begitu mengikut amalan, katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai urus setia Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam telah mengemukakan cadangan nama-nama berkenaan kepada kerajaan negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu sebagai budi bahasa.

Katanya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ketika itu melalui surat bertarikh 23 November 2010 bahawa Ketua Setiausaha Negara dan JPA telah mengenal pasti dan memperakukan tiga orang calon untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru termasuk Mohd Khusrin berdasarkan kelayakan, pengalaman, sifat-sifat peribadi dan faktor kesesuaian.

Ketiga-tiga calon itu diyakini akan dapat menjalankan tugasan dan tanggungjawab dengan berkesan dan berwibawa serta berintegriti sekiranya dipilih untuk menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Katanya, surat bertarikh 23 Nov 2010 juga seterusnya memohon supaya nama tiga orang calon itu dirujuk untuk pertimbangan dan persetujuan Kerajaan Negeri Selangor.

Mohd Sidek berkata seterusnya JPA melalui surat bertarikh 3 Dis 2010 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ketika itu sekali lagi memperakukan tiga orang calon yang sama untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Katanya, surat tersebut juga memohon mendapatkan perkenan Sultan Selangor sebaga amalan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ketika itu melalui surat bertarikh 13 Dis 2010 kepada JPA telah memaklumkan bahawa nama tiga orang calon itu telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor dan Datuk Mohd Khusrin telah diperkenankan oleh Baginda. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan