Lebih 360,000 Peluang Pekerjaan Ditawarkan Tahun Ini: Jabatan Tenaga Kerja

Diterbitkan: Rabu, 5 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihati supaya mempertingkatkan kemahiran sedia ada untuk merebut lebih 360,000 peluang pekerjaan yang dijangka ditawarkan sepanjang tahun ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed.

Menurutnya, kebanyakan pekerjaan itu melibatkan kategori perkhidmatan dan jualan, perkeranian, teknikal serta pengurusan dan profesional dengan menawarkan gaji yang sederhana atau tinggi.

"Kita menjangka lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan akan ditawarkan pada tahun ini hasil daripada pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Tenaga Kerja telah bekerjasama dengan beberapa koridor termasuk kawasan Iskandar Malaysia bagi mengenal pasti dan memenuhi jawatan kosong yang akan diwujudkan sepanjang tahun ini dan tahun-tahun berikutnya.

"Ketika ini peluang pekerjaan masih tertumpu kepada kawasan pantai barat tetapi ia dijangka diperluaskan ke kawasan lain selari dengan peluang ekonomi yang dijana oleh projek-projek koridor di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 283,455 pencari kerja berjaya memperolehi pekerjaan melalui pelbagai program penempatan kerja yang dijalankan JTK untuk tempoh 2007 hingga 2010.

Katanya, portal Jobs Malaysia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan mencatatkan 1.1 juta pencari kerja terkumpul setakat 31 Disember tahun lepas.

"Selain itu JTK turut mengambil pelbagai pendekatan antaranya membawa majikan ke kawasan program perumahan rakyat supaya penghuninya juga mendapat peluang pekerjaan yang sesuai, program pendaftaran di pasar-pasar malam serta membawa golongan miskin tegar untuk menyertai karnival-karnival penempatan kerja yang diadakan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan