Kerajaan Negeri Diminta Berhenti Mempolemikkan Isu Pelantikan SUK

Diterbitkan: Rabu, 5 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak hari ini meminta kerajaan pakatan DAP-PKR-PAS berhenti mempolemikkan isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru.

Penasihat Undang-undang Umno Datuk Hafarizam Harun berkata, pelantikan telah dibuat dan diperkenan oleh Sultan Selangor, dan tiada apa yang perlu diperkatakan mengenai isu itu selain daripada upacara mengangkat sumpah taat setia di hadapan Sultan Selangor dan upacara angkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar.

"Menteri Besar sedang mencari populariti dengan menterbalikkan isu walhal Tuanku Sultan Selangor adalah raja yang berperlembagaan. Baginda tidak boleh membuat kenyataan yang berbentuk politik kerana faham dan arif berkaitan kuasa-kuasa baginda," katanya dalam wawancara dengan Umno-online hari ini.

Hafarizam berkata berdasarkan apa yang berlaku, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dilihat bagai mengambil kesempatan dan memanipulasi perbincangan dalam pertemuannya dengan Sultan Selangor untuk kepentingan beliau dan pakatannya.

"Tuanku Sultan tidak boleh turun padang dan memberi ceramah tentang apa yang berlaku selain kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda.

"Sekiranya Sultan Selangor tidak memperkenankan pelantikan SUK ini maka Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) perlu mengemukakan nama yang baru. Jadi kalau dikatakan Tuanku Sultan tiada kuasa maka ia adalah tidak benar sama sekali dan tersasar dari peruntukan undang-undang," katanya.

Mengenai cadangan kerajaan pakatan DAP-PKR-PAS meminda Perlembagaan negeri pada sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengembalikan kuasa Sultan Selangor, Hafarizam berkata ia merupakan satu permainan politik yang cuba mengaburi mata rakyat berkaitan kedudukan Sultan Selangor selaku Ketua Negeri.

"Mengikut peraturan-peraturan mesyuarat Negeri Selangor, Menteri Besar mempunyai kuasa untuk memanggil sidang DUN dan dalam kes ini, beliau ingin memanggil sidang tergempar tetapi masih tertakluk kepada beberapa syarat iaitu perlu ada perkenan Sultan.

"Seingat saya kedudukan undang-undang di Selangor hampir sama dengan di Perak iaitu apa jua sidang Dewan yang hendak diadakan sama ada sambungan atau untuk penggal baru perlu mendapat perkenan Sultan dan perlu digazetkan. Menteri Besar memang berkuasa tetapi perlu ada prasyarat yang mesti dipatuhi iaitu perkenan Sultan, mesti diwartakan dan perlu ada notis yang dikeluarkan oleh Speaker DUN," katanya.

Beliau menyifatkan sidang DUN tergempar itu sebagai satu 'sandiwara politik yang menggunakan peruntukan undang-undang bagi tujuan tertentu atau motif tertentu sesuatu pihak sahaja.'

"Jangan seperti sidang bawah pokok di Perak yang akhirnya dibawa ke mahkamah dan diputuskan bahawa ia tidak sah kerana tidak mendapat perkenan baginda Sultan Perak dan tidak diwartakan walaupun telah mendapat notis yang dikeluarkan oleh Speaker pada waktu itu," katanya.

Beliau berkata untuk meminda Fasal 98 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, ia perlu mendapat sokongan dua pertiga daripada jumlah ahli dewan tersebut, dan pakatan DAP-PKR-PAS tidak mempunyai jumlah majoriti sebanyak itu di DUN.

Kedua, katanya berkemungkinan besar perkenan Tuanku Sultan tidak akan diberi maka mesyuarat DUN sebenar tidak mengikut lunas undang-undang dan tidak sah.

"Ketiga apakah perkara yang hendak dipinda sehingga ia memerlukan sidang DU Ntergempar yang tidak boleh dinantikan sidang DUN untuk penggal baru yang akan diadakan pada tahun ini, melainkan pakatan rakyat hanya ingin pergi kepada satu exercise yang bersifat sia-sia," katanya.

Hafarizam berkata tindakan itu dilihat hanyalah untuk mengheret institusi Raja dan Kesultanan Melayu terutamanya Sultan Selangor ke kancah politik, dan hanyalah satu perangkap politik kepada 20 Adun Barisan Nasional (BN).

"Jika hendak kata untuk meminda Perlembagaan untuk mengembalikan kuasa Raja-raja Melayu, kita perlu melihat struktur sistem yang ada di Malaysia iaitu sistem Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Persoalannya adakah pindaan ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang paling tinggi?," katanya. Beliau berkata pemimpin Selangor tidak sepatutnya melihat dari skop yang sempit kerana apa-apa pindaan perlu selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, dan apa jua peruntukan undang-undang negeri yang bertentangan dengan persekutuan boleh dicabar di Mahkamah Persekutuan atas alasan tidak konsisten dengan undang-undang Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata tindakan kerajaan Selangor campur tangan dalam pelantikan SUK itu merupakan satu penghinaan terhadap institusi perkhidmatan awam negara dan tidak menghormati perlembagaan negeri.

Tindakan itu juga jelas mencabar kewibawaan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan SPA dalam pelantikan pegawai tertinggi perkhidmatan negeri memandangkan ia hak kerajaan pusat, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Maka dengan itu, katanya tindakan Abdul Khalid mewujudkan jawatankuasa pemilihan SUK tanpa terlebih dahulu merujuk kepada KSN membuktikan beliau tidak tahu perlembagaan negeri.

Noh berkata, cadangan kerajaan negeri Selangor mengadakan sidang DUN tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif negeri itu kepada Menteri Besar dan Sultan Selangor adalah tidak perlu.

Katanya, bagi BN Selangor, Undang-undang Tubuh Negeri Selangor tidak perlu dipinda memandangkan ia telah diamalkan sekian lama dan tidak timbul sebarang masalah kepada kerajaan terdahulu, termasuk pelantikan pegawai tertinggi kerajaan negeri yang dibuat oleh SPA, dan tidak membelakangkan Sultan.

Beliau berkata, apa yang berlaku ketika ini adalah kerana kerajaan negeri Selangor memainkan isu pelantikan ini demi survival politik sehingga sanggup mengucar-ngacirkan pentadbiran negeri Selangor.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (Cassa) Datuk Dr Jacob George mahu kerajaan negeri Selangor segera menghentikan semua perbincangan politik berhubung kebuntuan mengenai pelantikan SUK.

Beliau berkata, perbalahan dan penolakan berterusan terhadap keputusan SPA itu membawa ancaman daripada segi politik, ekonomi, sosial dan kewangan kepada negeri selain turut mengelirukan masyarakat.

"Hakikatnya ialah pelantikan oleh SPA itu sah di sisi undang-undang dan kerajaan Selangor perlu menghormati pelantikan itu," kata beliau dalam satu kenyataan. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan