Mohamad Khusrin Tidak Boleh Hadir Sebarang Mesyuarat Kerajaan Negeri, Kata MB

Diterbitkan: Selasa, 4 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Datuk Mohamad Khusrin Munawi, yang dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Januari, tidak boleh menghadiri sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara Kerajaan Negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Kerajaan Negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Mohamad Khusrin Munawi (Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru) tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.

Mohamad Khusrin, yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, dijadual mengangkat sumpah jawatan Khamis ini.

Menteri Besar itu berkata antara sebab Mohamad Khusrin tidak boleh menghadiri Majlis Mesyuarat Exco kerana perbincangan dalam mesyuarat itu adalah rahsia.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih oleh sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Abdul Khalid mendakwa semasa mengumumkan pelantikan Mohamad Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Menteri Besar malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Pelantikan Mohamad Khusrin sebagai SUK baru mencetuskan kontroversi apabila Menteri Besar dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Pelantikan Mohamad Khusrin, 54, berkuatkuasa 1 Januari lepas bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud yang tamat kontrak sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid berkata Sultan Selangor berpandangan baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon bagi memegang jawatan eksekutif yang dicadangkan oleh SPA.

"Ini adalah kerana kuasa itu telah ditarik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa pemilihan di bawah Kerajaan Persekutuan," katanya.

Abdul Khalid berkata Sultan Sharafuddin mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik.

"Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut," katanya.

Abdul Khalid berkata surat kepada SPA itu akan dihantar hari ini atau esok.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri Selangor bercadang mengadakan sidang tergempar Dewan Undangan Negeri bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Ketika ditanya mengenai tarikh sidang tergempar itu akan diadakan, Menteri Besar berkata perkara itu akan dimaklumkan kepada Speaker DUN Datuk Teng Chang Khim hari ini.

Kerajaan Negeri, kata Abdul Khalid perlu mendapatkan panduan sebelum mengadakan sidang tergempar DUN dan Speaker sedang melihat sama ada ia boleh diadakan atau tidak.

* Untuk Laporan Berkaitan: Lihat Komentar ROZAID A RAHMAN di ruangan KHABARNYA...

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan