MCA Yakin Pilihan Raya Umum Tidak Dalam Suku Pertama 2011

Diterbitkan: Selasa, 4 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, beliau yakin pilihan raya umum tidak akan diadakan dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Katanya, ramai yang membuat spekulasi pilihan raya umum akan diadakan dalam suku pertama tahun ini tetapi beliau tidak nampak ada tanda-tanda ia akan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, apabila ditanya kemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pilihan raya umum dalam tahun ini juga walaupun tempoh Dewan Rakyat akan hanya berakhir 2013, katanya beliau tidak dapat membuat spekulasi mengenainya.

"Itu saya tidak tahu," katanya ketika ditanya pemberita sama ada perjumpaan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan kesemua wakil rakyat B Ndi bangunan Parlimen Sabtu ini menunjukkan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, katanya kepada pemberita selepas mengumumkan Anugerah Kebudayaan 1Malaysia di sini hari ini.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Johor pada 30 Januari, Dr Chua berkata MCA memandang pilihan raya itu sebagai satu yang penting dan akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN.

Beliau berkata, rakyat sudah bijak untuk menilai dan yakin BN akan mendapat sokongan daripada mereka memandangkan sepanjang tiga tahun lepas pembangkang dilihat tidak mengotakan janji mereka dan 'cakap tidak serupa bikin'.

"BN di bawah Perdana Menteri telah menunaikan banyak janji-janjinya yang dibuat. Kita bukan sempurna. Kita bukan sempurna dan tidak ada manusia yang sempurna.

"Kita hanya berusaha sedaya upaya untuk memenuhi atau mengotakan janji-janji yang telah dibuat. Dengan itu, kita yakin rakyat akan memberi sokongan yang padu kepada calon BN di Tenang dan di mana-mana," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Sulaiman Taha,59 daripada BN akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Kuala Lumpur pada 17 Disember lepas.

Suruhanjaya pilihan raya (SPR) menetapkan 22 Januari ini sebagai hari penamaan calon sementara 30 Januari ini adalah hari pengundian jika ada pertandingan.

Mengenai anugerah itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM50,000, Dr Chua berkata pencalonannya dibuka sehingga 28 Februari yang bertujuan mengiktiraf orang perseorangan atau berkumpulan menerusi hasil karya atau usahanya yang menggunakan unsur kebudayaan Cina yang diamalkan di Malaysia serta konsisten dengan konsep 1Malaysia.

"Anugerah ini juga antara lain dapat menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia. Pencalonan adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia tanpa mengira usia ataupun jantina," katanya.

Beliau berkata, pencalonan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori untuk masyarakat Tionghua dan kategori bagi bukan Tionghua manakala karya juga telah diperkenalkan dan diketahui umum pada atau selepas 3 April 2009 dan sebelum 31 Disember tahun lepas.

Antara jenis karya yang boleh dicalonkan adalah termasuk aktiviti kebudayaan, seni tampak, filem, drama, iklan, hasil-hasil penulisan, muzik dan sebagainya.

Dr Chua berkata selain itu karya mestilah telah membawa impak nyata untuk saling meninggikan tahap kefahaman kaum lain terhadap kaum Cina di samping menyalurkan pengetahuan yang menguatkan tahap toleransi dan menjurus kepada penerimaan sepenuhnya kemajmukan Malaysia.

Beliau berkata dengan penganjuran anugerah ini jelas menunjukkan bahawa gagasan 1Malaysia bukan satu slogan politik.

"Ini jelas kerana dalam konsep ini ia lebih berunsur kepada kebudayaan. Orang yang mempunyai perjuangan yang sempit sahaja mengaitkan 1Malaysia dengan politik. Jadi, ini jelaslah membuktikan bahawa ia tiada unsur politik langsung," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan