MB Perlu Kemuka Representasi Bertulis Untuk Adakan Sidang DUN: Teng Chang Kim

Diterbitkan: Selasa, 4 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu mengemukakan representasi bertulis kepada beliau bagi mengadakan sidang DUN.

Beliau berkata, walaupun semalam Abdul Khalid ada memaklumkan kepadanya mengenai hasrat kerajaan negeri untuk mengadakan sidang itu tetapi beliau belum menerima representasi bertulis daripada Menteri Besar.

Semalam, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mencadangkan sidang tergempar DUN untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Teng berkata, di bawah Peraturan-peraturan Tetap 10(3) Dewan Undangan Negeri Selangor jika sidang DUN sedang ditangguhkan, Menteri Besar boleh mengemukakan kepada Speaker bagi kepentingan awam untuk mengadakan mesyuarat lebih awal.

Speaker perlu mengeluarkan pemberitahuan mengenai perkara itu dan dewan hendaklah bermesyuarat pada masa yang dinyatakan dalam pemberitahuan itu, katanya.

"Urusan perkara mesyuarat pada hari itu hendaklah ditetapkan oleh Menteri Besar dan pemberitahuan mengenainya hendaklah dipekelilingkan tidak lewat dari masa mesyuarat itu."

Teng berkata, secara teknikalnya sidang DUN yang dicadangkan oleh Abdul Khalid boleh dipanggil bersidang dalam tempoh 24 jam ataupun sejam sebelum tarikh dan masa mesyuarat itu diputuskan.

Beliau juga berkata, sidang DUN yang dicadangkan oleh Abdul Khalid bukan sidang tergempar tetapi sambungan daripada sidang DUN yang ditangguhkan pada 15 November lepas.

Ketika ditanya sama ada sidang itu perlu mendapat perkenan Sultan Selangor, Teng berkata tidak perlu kerana ia hanyalah sambungan daripada persidangan yang ditangguhkan dan menurutnya sidang DUN awal penggal yang dijadualkan Mac depan perlu mendapat perkenan Sultan Selangor.

Ketika ditanya sama ada kontroversi isu pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru dianggap berkepentingan awam sehingga sidang DUN perlu diadakan, Teng berkata:" Sehingga kini saya tidak tahu apa yang akan dibentangkan...jadi saya tidak tahu representasi mengenai apa yang akan dikemukakan oleh Menteri Besar."

Oleh yang demikian Teng berkata beliau tidak boleh memberikan sebarang kenyataan sama ada sidang yang bakal diadakan itu menyentuh pelantikan Mohamad Khusrin atau mengenai isu-isu lain.

Mohamad Khusrin, 54, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Dis lepas manakala tempat Mohamad Khusrin sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor diambil alih oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam, Marzuki Hussin, 56, berkuat kuasa 1 Januari.

Bagaimanapun Abdul Khalid Ibrahim menolak pelantikan itu dan mendakwa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Kerajaan Negeri dalam proses pemilihan calon SUK berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Teng berkata sebarang cadangan kepada Dewan perlu datang daripada pihak eksekutif yang diketuai oleh Menteri Besar dan beliau hanya menjalankan tugas sebagai Speaker yang mengendalikan perjalanan Dewan.

Mengenai keperluan majoriti dua pertiga bagi membolehkan sesuatu undang-undang itu dipinda di dalam sidang DUN, Teng berkata walaupun kerajaan campuran pakatan pembangkang di Selangor tidak memiliki majoriti dua pertiga di dalam DUN, kemungkinan Menteri Besar boleh mempengaruhi anggota dewan daripada Barisan Nasional untuk menyokongnya.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi. Barisan Nasional menguasai 20 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (14), DAP (13), PAS (lapan) dan Bebas (1). Jumlah bagi majoriti dua pertiga ialah 38.

Mengenai pindaan undang-undang, Teng berkata cadangan pindaan undang-undang perlu digazetkan terlebih dahulu selama 14 hari sebelum dibentangkan di dalam Dewan.

Bagi usul undi tidak percaya pula, katanya ia perlu dikemukakan 14 hari sebelum dibentangkan dan lazimnya usul itu dibawa oleh anggota DUN terhadap anggota DUN lain yang didakwa melakukan salah laku.

Mengenai kemungkinan usul undi tidak percaya akan dikemukakan terhadap Mohamad Khusrin yang merupakan anggota ex-officio dewan, Teng berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut kerana belum menerima representasi daripada Menteri Besar sama ada ingin membawa usul atau pindaan undang-undang atau kedua-duanya sekali dalam sidang dewan yang dicadangkan oleh Abdul Khalid itu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan