JLKN Adakan Perbincangan Untuk Hasilkan Modul PKRS

Diterbitkan: Isnin, 3 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mengkaji pengisian serta pelaksanaan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketua Pengarah jabatan itu Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam mewujudkan modul kecil PLKN seperti Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghasilkan modul PKRS yang terbaik supaya tidak bertindih dengan modul sedia ada, termasuk modul Integrasi.

"Saya akan mengadakan perbincangan ini dalam masa terdekat. Kita akan lihat kesesuaian modul ini. Apa-apa pun modul ini perlu dibangunkan terlebih dahulu untuk melihat dari segi penyampaiannya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menggulas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa modul PKRS akan diperkenalkan dalam PLKN mulai Mei ini bagi mendidik remaja mengenai bahaya gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat sekarang.

Abdul Hadi berkata selepas perbincangan itu, JLKN akan melatih jurulatih PLKN sedia ada untuk diberikan latihan dan kemahiran secukupnya supaya PKRS dapat disampaikan dengan baik kepada pelatih PLKN.

Katanya, PKRS bukanlah modul pendidikan seks tetapi merupakan satu modul khusus yang akan memberi penekanan kepada kekuatan jati diri remaja selain membina kekuatan minda remaja.

Abdul Hadi yang yakin JLKN mampu melaksanakan tugas ini dengan jayanya berkata modul PKRS ini dilihat sedikit sebanyak membantu dalam mengekang masalah sosial dan moral di kalangan remaja.

Sementara itu, Pakar Perunding Obstetriks dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata tempoh tiga bulan di PLKN merupakan masa yang baik untuk memantapkan pengetahuan dan sikap remaja terhadap pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.

Beliau berkata selain memberi pengetahuan dalam aspek fizikal, modul PKRS yang akan diperkenalkan kelak juga diharapkan memberi penekanan kepada sudut kognitif, emosi, sosial dan rohani.

"Saya harap modul ini nanti menjurus kepada penghasilan tingkah laku yang baik, akhlak yang terpuji serta mendidik golongan remaja ini menjauhi zina. Modul ini diharap dapat memberikan hasil yang baik kepada remaja yang tidak merosakkan dirinya dan juga orang lain," katanya. Dr Harlina juga berharap jurulatih yang akan mengajar modul itu nanti terdiri daripada mereka yang terlatih dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang tersebut.

"Jika mereka (jurulatih) bukan daripada kalangan yang terlatih saya bimbang modul itu nanti hanya sesi untuk suka-suka, gurau senda dan perli-memerli. Saya mahu modul ini nanti akhirnya membuatkan semua (remaja) melakukan perubahan tingkah laku," katanya.

Presiden Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi pula berkata modul PKRS ini seharusnya dijadikan sebagai modul pilihan bagi pelatih PLKN dan bukan sebagai modul wajib.

Beliau berkata ini kerana isu moral dan kekeluargaan merupakan isu sensitif bagi sesetengah ibu bapa kerana ada ibu bapa yang berpendapat pengenalan modul seperti ini menggambarkan mereka gagal dalam mendidik anak-anak.

Katanya, pelaksanaan modul ini sangat penting kerana jika salah pengajarannya modul ini dilihat lebih kepada mengajar berbanding menjadi benteng kepada masalah sosial di kalangan remaja.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata ibu bapa seharusnya menggalakkan anak-anak mengikuti modul seperti ini bagi mendapatkan pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif dan sosial dengan mendalam.

"Topik ini memang sensitif, ramai ibu bapa rumit dan susah untuk membincangkan topik ini dengan anak-anak. Tetapi modul seperti ini tidak rugi, jadi jangan sia-siakan. Ia bukan sahaja baik untuk diri remaja itu sendiri malah dapat menyebarkan kebaikan kepada orang lain juga," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan