Kerajaan Perlu Guna Kuasa Politik Untuk Laksana Setiap Dasar: Ahli Akademik

Diterbitkan: Sabtu, 1 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menggunakan kuasa politik dalam melaksanakan setiap dasar berkaitan perpaduan agar tidak dipermainkan pihak tidak bertanggungjawab, kata seorang ahli akademik.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata ia penting bagi memudahkan kerajaan memberi penerangan seterusnya mengelakkan kekeliruan yang mungkin dan cuba ditimbulkan pihak-pihak tertentu bagi menggagalkan dasar itu.

"Pemerintah yang memegang kuasa dan dengan kuasa yang ada padanya, mereka (kerajaan) perlu bertegas dalam memastikan setiap dasar yang dikemukakan dapat dilaksana dengan sempurna," katanya ketika menjadi panel pada "Diskusi Kebudayaan Kebangsaan: Kemampuan Dasar Kebudayaan Kebangsaan Sebagai Alat Perpaduan dan Cabaran-Cabarannya" di Dewan Pusat ABIM, di sini, Sabtu.

Diskusi anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) itu disertai bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dan Pensyarah Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan.

Nik Hassan berkata ketegasan pembuat dasar penting bagi memastikan usaha pihak-pihak tidak sehaluan yang sentiasa mencipta 'kerenah' bagi menggagalkan dasar itu gagal.

Katanya usaha pihak tertentu untuk menggagalkan dasar kerajaan tidak boleh dipandang remeh kerana terbukti mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan.

"Sebab itu bila kita wujudkan dasar untuk perpaduan akan muncullah kumpulan-kumpulan yang berkepentingan menentang dasar itu.

Malah sudah ada antara mereka yang berani mempertikaikan hak-hak yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang seharusnya tidak kita senangi," katanya.

Nik Hassan turut menggesa kerajaan lebih bertegas dan bersedia menghadapi kerenah dalam pelaksanaan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Katanya telah kedengaran suara-suara menentang dasar itu dengan pelbagai tuduhan negatif bertujuan menggagalkan usaha kerajaan memberi didikan mengenai sejarah dan perpaduan kepada masyarakat.

Diskusi itu turut merumuskan resolusi, yang mengisytiharkan 2011 sebagai tahun kebangkitan kebudayaan kebangsaan ke arah menggerakkan momentum lebih besar pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz yang membacakan resolusi itu berkata momentum itu akan digerakkan melalui dua peringkat iaitu mewujudkan kesedaran massa menerusi penganjuran siri wacana, dialog dan debat terbuka serta menerusi peringkat advokasi politik untuk merealisasikan penggubalan akta dan Falsafah Kebudayaan Kebangsaan sebagai langkah memartabat dasar berkenaan.

"Resolusi diskusi menetapkan PKPIM bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan budayawan, sasterawan dan cendekiawan serta pemimpin masyarakat berganding bahu menubuhkan Gerakan Kebudayaan Kebangsaan sebagai wadah untuk menggerakkan misi ini," katanya.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan