Pelantikan Khusrin Tidak Perlu Diragui - Penganalisis Politik

Diterbitkan: Jumaat, 31 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu diragui oleh kerajaan negeri itu kerana penjawat awam sentiasa dituntut supaya berintegriti dan profesional dalam melaksanakan tugas mereka, menurut seorang penganalisis politik tempatan.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin berkata dakwaan kerajaan Selangor kononnya pelantikan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu dibuat atas kepentingan politik Barisan Nasional (BN) hanyalah intepretasi yang tidak boleh dijadikan asas.

"Dakwaan tersebut kurang berasas kerana Mohd Khusrin belum memulakan tugas, malah lantikan tersebut juga hanya akan berkuat kuasa mulai 1 Jan ini. Tentunya andaian seperti itu tidak boleh digunakan," katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, beliau berkata rasa tidak puas hati kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung perkara itu tidak berasas.

Katanya, kerajaan PKR Selangor sebenarnya berasa tercabar kerana lantikan itu dibuat di luar pengetahuan mereka.

Kerajaan PKR Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mendakwa pelantikan Mohd Khusrin, yang mendapat perkenan Sultan Selangor, tidak muktamad kerana tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Ahmad Nizamuddin berkata Abdul Khalid perlu sedar keadaan sebegini biasa berlaku apabila negeri dikuasai parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Katanya, pelantikan itu tidak akan membawa masalah kerana kerajaan Persekutuan semestinya telah terlebih dahulu memikirkan kesan baik dan buruk tindakan tersebut.

Beliau percaya sebagai penjawat awam yang berintegriti, Mohd Khusrin akan mengutamakan amalan profesional ketika menjalankan tugas.

"Jika berpegang kepada elemen profesional, bebas dan amalan pengasingan kuasa, sepatutnya pelantikan ini tidak menimbulkan masalah," katanya.

Fasal 52 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyebut jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri perlu diwujudkan, dan perlantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan, dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula berkata lantikan tersebut tidak boleh dihalang oleh kerajaan negeri, sekiranya ia dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata sekiranya kerajaan PKR Selangor tidak berpuas hati dengan calon lantikan kerajaan pusat, mereka harus sedar perkara itu hanya boleh diselesaikan di mahkamah.

Sementara itu, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia berkata selepas 53 tahun kemerdekaan, penjawat awam begitu berkemampuan dalam soal pentadbiran sehingga menjadi contoh kepada negara membangun lain.

Presidennya, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata walau apapun keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac, 2008, penjawat awam terus memastikan jentera kerajaan berjalan lancar, sedangkan pada masa sama, kebanyakan ahli politik resah dengan apa yang bakal berlaku apabila pentadbiran empat daripada 13 negeri bertukar tangan.

"Ketika pergolakan dan perebutan kuasa politik di Perak, penjawat awam tidak kisah dan meneruskan tugas mereka seperti biasa.

"Tidak dapat dibayangkan apa akan berlaku sekiranya penjawat awam menyokong permainan politik mana-mana parti dan menyertai usaha merebut kuasa," katanya.

Beliau berkata ahli politik silih berganti, sebaliknya penjawat awam mengekalkan taat setia mereka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan negara.

Sehubungan itu, Wan Mahmood berharap penjawat awam tidak akan terpengaruh dengan 'umpan politik' mana-mana parti dan ahli politik juga perlu sedar bahawa adalah penting budaya perkhidmatan awam sedia ada tidak diganggu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan