Tiada Alasan Naikkan Harga Makanan, Minuman Sehingga 10 Peratus - KPDNKK

Diterbitkan: Khamis, 30 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pengusaha restoran tidak mempunyai alasan untuk menaikkan harga makanan dan minuman sehingga 10 peratus meskipun berlaku kenaikan harga gula dan bahan api berkuatkuasa 4 Disember lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Daud Tahir berkata simulasi harga yang dibuat baru-baru ini juga menunjukkan perubahan harga makanan dan minuman adalah minimum iaitu kenaikan antara 0.1 sen dan tiga sen sahaja.

"Kita sudah buat simulasi dengan kerjasama konsultan (untuk melihat) berapa kenaikan harga makanan dan minuman berikutan kenaikan harga gula dan bahan api baru-baru ini dan tak munasabah jika mereka nak naikkan harga makanan dan minuman," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Daud berkata simulasi harga itu melibatkan 64 jenis makanan dan minuman antaranya teh tarik iaitu perubahan harga sebanyak 0.8 peratus kepada RM1.21 berbanding RM1.20 ketika ini manakala harga teh hanya meningkat 1 sen kepada RM1.01 sen.

Simulasi itu juga menunjukkan harga bagi pelbagai jenis roti termasuk roti canai kosong, roti jala dan roti telur, pula mengalami kenaikan antara 0.2 dan 0.3 sen sahaja.

Ditanya sama ada pengusaha restoran bersetuju dengan harga simulasi itu, Daud berkata kementerian akan memaklumkan mengenainya dalam satu perjumpaan pada awal Januari ini.

"Kita akan memaklumkan mengenai kita punya pengiraan dan alasan kepada mereka kenapa simulasi itu dibuat dan tidak logik untuk menaikkan 10 peratus harga makanan dan minuman," katanya.

Daud berkata Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) baru-baru ini juga menafikan berlaku kenaikan harga itu seperti dilaporkan dalam akhbar baru-baru ini.

Beliau berkata bekalan minyak masak adalah stabil di seluruh negara kecuali terdapat kekurangan di sesetengah tempat serta kekurangan jenama-jenama tertentu di pasaran.

"Keadaan ini adalah tidak serius. Spekulasi mengenai kenaikan harga adalah tidak benar dan pengguna dan peniaga diminta tidak membeli dalam kuantiti yang banyak untuk kegunaan harian," katanya.

Daud berkata spekulasi kenaikan harga minyak itu timbul akibat kenaikan harga minyak mentah di pasaran global yang mencecah sehingga RM3,800 setiap tan metrik sehingga menyebabkan berlaku pembelian panik oleh pengguna dan peniaga kecil di beberapa kawasan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan