Warga Kota Bertumpu Ke Restoran Mamak Saksi Perlawanan Akhir Piala AFF-Suzuki

Diterbitkan: Rabu, 29 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebilangan besar daripada warga bandaraya Kuala Lumpur akan bertumpu ke restoran mamak yang banyak terdapat di ibu kota malam ini bagi menonton perlawanan bersejarah peringkat akhir kedua Piala AFF-Suzuki edisi 2010 Malaysia-Indonesia.

Restoran ini menjadi 'port' yang menyediakan skrin besar di perkarangan bagi memudahkan ratusan khalayak menonton perlawanan sambil menghirup teh tarik kegemaran mereka, seterusnya tenggelam dalam suasana riuh rendah penonton yang melahirkan sokongan.

Mohamad Sharuddin, 32, berkata beliau dan rakan-rakanya memilih restoran mamak sekitar wangsa maju di sini.

"Bagi menghidupkan lagi suasana perlawanan saya dan beberapa rakan berpakat memakai jersi kuning-hitam sebagai tanda sokongan kami kepada pasukan kebangsaan," katanya kepada Bernama.

Bapa kepada dua anak itu berkata biarpun beraksi di gelanggang lawan beliau yakin dengan kemampuan skuad 'Harimau Malaya' menumpaskan skuad 'Garuda' 2-1 pada perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Mohamad Aiman Abdullah, 25, berkata beliau memilih restoran mamak kerana suasana menonton perlawanan di situ hampir sama seperti di stadium apabila dapat bersorak beramai-ramai. "Sebagai tanda sokongan kepada pasukan negara saya tidak akan lupa membawa Jalur Gemilang bersama.

"Dengan pencapaian semasa saya fikir skuad negara mampu tumpaskan pasukan Indonesia dengan mata 3-2," katanya.

Siti Raihanan, 30, dan rakan-rakan juga memilih untuk menonton perlawanan itu di restoran mamak berhampiran kediaman mereka. Perlawanan malam ini menjadi penentu sama ada Malaysia berjaya menamatkan kemarau penantian selama 14 tahun bagi menjulang Piala yang mula diperkenalkan pada 1996 itu.

Kejayaan terbaik pasukan Malaysia sebelum ini adalah menjadi naib juara pada edisi 1996 selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan di Singapura. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan