Barang Ganti Tiruan: Persatuan Pengusaha Bas Gesa Zainal Rampak Kemuka Bukti

Diterbitkan: Rabu, 29 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Semenanjung Malaysia (PMBOA) hari ini menggesa Datuk Zainal Rampak mengemukakan bukti berhubung dakwaan penggunaan alat ganti tiruan pada kalangan pengusaha bas di negara ini.

Presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) itu juga wajar membuat laporan kepada pihak berkuasa jika benar keadaan itu wujud.

"Jika ada pengusaha bas yang didapati bersalah menggunakan alat ganti tiruan saya tidak menghalang agar tindakan undang-undang dikenakan ke atas pengusaha bas terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Ini kerana katanya, isu itu membabitkan soal keselamatan pengguna dan orang ramai. Dalam pada itu kata Mohamad Ashfar, sehingga kini tidak ada bukti yang mengesahkan dakwaan alat ganti tiruan menjadi punca nahas kemalangan jalan raya, menunjukkan dakwaan tersebut tidak berasas.

Zainal sebelum ini dilapor media sebagai berkata syarikat pengusaha bas lebih cenderung menggunakan alat ganti tiruan kerana ia dapat meminimumkan kos syarikat dan lebih mudah didapati.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh berkata pengusaha bas atau pengangkutan komersial yang masih berdegil menggunakan alat ganti tiruan perlu digantung permit mereka.

"Kalau syarikat itu terus berdegil... pertama denda dan permit akan digantung, soal alat ganti tiruan ini tidak boleh bertolak ansur sebab ia melibatkan nyawa penumpang dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata," katanya.

Suret berkata pemantauan dan pemeriksaan oleh pihak yang berkenaan adalah penting untuk memastikan setiap pengusaha bas dan pengangkutan komersial menggunakan alat ganti tulen dan dijamin kualiti ketahanannya.

"...sekiranya dapati tidak tulen jangan biarkan mereka beroperasi. Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu membuat pemantauan terutamanya melibatkan enjin dan brek," katanya.

Bagi Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) Hamzah Masri, penggunaan alat ganti tiruan yang tidak mempunyai pengesahan daripada Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (SIRIM) sememangnya boleh menjadi punca kemalangan.

"Pemantauan harus dibuat ke atas premis-premis perniagaan yang menjual alat ganti tiruan ini. Oleh itu Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan harus lebih tegas kepada mana-mana individu yang menjual alat ganti tiruan ini," katanya.

Dalam pada itu pengusaha bas, Syarikat RRR Holidays, Lim Chee Kheong, 52, berkata adalah tidak wajar menyalahkan sebelah pihak sahaja setiap kali berlaku kemalangan kerana terdapat pelbagai faktor lain yang mungkin menyumbang kepada tragedi itu.

"Contohnya, keadaan jalan yang berbukit dan tidak rata turut menjadi penyebab...bukan disebabkan penggunaan alat ganti tiruan. Saya sebagai pengusaha bas amat mementingkan keselamatan pengguna kerana nyawa penumpang terletak pada 'tangan' pemandu bas itu sendiri," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan