Umno Yakin Sokongan Kaum India Kuatkan Jentera BN Kedah

Diterbitkan: Selasa, 28 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Sokongan daripada masyarakat India amat diperlukan bagi menguatkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi memenangi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata masyarakat India di negeri itu mulai sedar akan kesilapan mereka pada pilihan raya umum lepas dan kini kembali menyokong BN.

"Saya yakin masyarakat India di negeri ini telah menunjukkan sokongan padu kepada kepimpinan BN dalam usaha untuk merampas kembali Kedah daripada kepimpinan parti pakatan," katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan bersama kepimpinan Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), yang diketuai Pengerusi IPF Kedah, K. Velauthan di Pejabat Umno di sini pada Selasa.

Pertemuan itu sebagai tanda sokongan IPF terhadap pelantikan Ahmad Bashah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang baru.

Ahmad Bashah yakin ia satu petanda baik bagi kesemua parti komponen BN Kedah dan ketiga-tiga parti komponen India berganding bahu untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada BN.

Velauthan berkata IPF sentiasa memberi sokongan padu kepada Ahmad Bashah dalam usaha mengatur strategi baru bagi merampas kembali Kedah daripada parti pakatan pada pilihan raya umum kelak.

"IPF akan bekerjasama dengan Umno dan akan bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan BN menang pada pilihan raya umum nanti," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan