Rumah Tumpangan 37 Unit Di Batu Feringgi Musnah

Diterbitkan: Sabtu, 25 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sebuah rumah tumpangan 37 unit dan dua rumah kediaman di Kampung Belacan, Batu Feringghi di sini, musnah dalam satu kebakaran pada kira-kira 11.40 pagi Sabtu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Operasi) Negeri Mohd Razam Taja Rahim berkata, enam jentera dengan kekuatan 35 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam.

"Ketika bomba sampai, api sedang marak dan struktur rumah yang berdekatan serta diperbuat daripada kayu, menyebabkan api mudah merebak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memadamkan api, dan sejam untuk mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semasa kejadian, kebanyakan pelancong yang menginap di rumah tumpangan itu berada di Pantai Batu Feringghi dan keluar bersiar-siar," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Razam berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

Sementara itu, pemilik rumah tumpangan Bayu Senja Maznil Pakir berkata kebakaran tersebut berlaku dengan sangat pantas menyebabkan beliau tidak sempat menyelamatkan apa-apa, termasuk barangan milik pelancong yang menginap di situ.

"Saya terkejut dan trauma dengan kejadian ini kerana hilang segala-gala yang saya bina sejak 10 tahun lepas dalam tempoh yang singkat," katanya yang mendakwa kerugian lebih RM500,000.

Sementara itu, ejen pelancongan G.Shanta berkata beliau kehilangan sejumlah pasport milik pelanggannya yang turut musnah dalam kebakaran tersebut.

"Saya panik sebaik saja ternampak api dari rumah tumpangan yang kami sewa itu, kerana semua pasport perjalanan milik pelancong yang saya bawa, berada dalam bilik saya.

"Selain itu, semua barangan peribadi saya juga musnah dalam kebakaran itu," katanya yang sangat sedih dengan kejadian itu.

Kebakaran itu turut menyebabkan kesesakan teruk sepanjang kira-kira 10 kilometer di laluan berkenaan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan