Pilihan Raya Kecil DUN Tenang 30 Jan, Penamaan Calon 22 Jan

Diterbitkan: Jumaat, 24 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor pada 22 Jan depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Jan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor pada 17 Dis lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada hari yang sama.

"Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Sulaiman, 59, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Abdul Aziz berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Beliau berkata terdapat 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pengundi pos, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).

Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

"Sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi. Seramai 376 petugas akan terlibat dalam pilihan raya kecil ini, " katanya.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Labis Md Asri Amir dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan. Abdul Aziz berkata tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akan ditubuhkan, yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan, bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang lapan hari tempoh rasmi berkempen.

Kira-kira RM1.1 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 diadakan, yang telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 juta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan