Undang-Undang Perlu Dipinda Bagi Perlindungan Lebih Kepada Kesatuan Sekerja

Diterbitkan: Khamis, 23 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) menyeru kerajaan meminda undang-undang untuk memberikan perlindungan lebih kepada kesatuan dan pemimpin kesatuan sekerja di negara.

Setiausaha agungnya J. Solomon berkata ini kerana pemimpin kesatuan sekerja sama ada di peringkat kebangsaan atau di tempat kerja, didiskriminasi dan menjadi mangsa kepada sesetengah majikan yang tidak berperikemanusiaan.

Beliau berkata majikan menamatkan perkhidmatan pemimpin kesatuan sekerja berdasarkan dakwaaan yang direka-reka dan ini lebih nyata apabila banyak kes seperti itu berlaku kebelakangan ini.

"Ini berpunca daripada Kementerian Sumber Manusia yang tidak mengambil tindakan terhadap majikan yang curang dan mereka menjadi lebih angkuh dan mencerminkan tidak mematuhi sepenuhnya undang-undang di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Solomon membuktikan kes sebenarnya di mana pengerusi dan setiausaha jawatankuasa kesatuan tapak kerja di sebuah syarikat pengeluar kertas di Melaka, diberhentikan kerja hanya kerana menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia dan Jabatan Buruh.

"Kedua-dua pegawai kesatuan itu sedang bercuti pada hari itu. Ini satu kes yang jelas menunjukkan kesatuan digagalkan oleh syarikat.

"Syarikat asing yang matlamat utamanya untuk memaksimumkan keuntungannnya mengabaikan institusi sivil tempatan dan perkara ini tidak boleh diberikan tolak ansur," kata beliau.

Beliau berkata kerajaan hendaklah mengkaji untuk memberikan perlindungan kepada pemimpin kesatuan sekerja, kesatuan sekerja dan pekerja di negara ini bagi memastikan kesejahteraan mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan