Industri Berteknologi Tinggi Sesuai Dilaksana Di Melaka - Berita Semasa | mStar

Industri Berteknologi Tinggi Sesuai Dilaksana Di Melaka

Diterbitkan: Khamis, 23 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Industri berteknologi tinggi dilihat sesuai dilaksanakan di Melaka berbanding industri yang bertenaga kerja tinggi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata Melaka mampu menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan fasiliti serta kemudahan untuk industri jenis itu berkembang dengan lebih pesat lagi.

"Industri ini mampu menghasilkan produk dengan pantas dan tepat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Juara Rakyat Peringkat Parlimen Bukit Katil di Kampung Pasir Puteh di sini, pada Khamis.

Beliau berkata industri itu juga berpotensi membawa masuk lebih banyak teknologi baru dan modal tinggi yang diperlukan akan mendorong kemasukan lebih banyak pelaburan besar.

Mengulas mengenai keputusan PMR yang diumumkan hari ini, Mohd Ali berkata beliau amat berbangga apabila 1,137 pelajar di Melaka memperolehi gred A dalam semua matapelajaran, satu peningkatan berbanding 1,074 orang tahun lepas.

Beliau berkata selain pelajar, pujian juga harus diberikan kepada ibubapa dan guru yang berusaha dalam merealisasikan kejayaan itu.

"GPN (Gred Purata Negeri) Melaka tahun ini 2.65 mengatasi Gred Purata Nasional 2.74, nampaknya peruntukkan RM1.2 juta setahun yang diberi kepada sekolah-sekolah untuk program tambahan seperti motivasi, tuisyen dan lain-lain nampak hasilnya," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan