Universiti Arab Saudi Bantu Tingkat Kualiti Program Permata Insan

Diterbitkan: Rabu, 22 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NILAI: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mewujudkan hubungan kerjasama dengan universiti di Arab Saudi dalam usaha meningkatkan kualiti program Permata Insan dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Melalui kerjasama ini, Universiti Al Tayyibah Madinah telah membantu kita membangunkan kurikulum terutamanya dalam bidang Al-Quran dan Al Sunnah.

InsyaAllah kerjasama ini akan dimeterai melalui memorandum persefahaman antara USIM dan Al Mawhibbah King Abdul Aziz Univerisity di Riyadh pada 10 Jan nanti," katanya ketika berucap sempena lawatan kerja beliau ke perkhemahan Permata Insan 2010 di USIM di sini, Rabu.

Turut hadir Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Muhamad Muda.

Rosmah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Program Permata, berkata kerjasama itu juga akan dapat mendedahkan pelajar Permata Insan dengan pengalaman pembelajaran di luar negara, lawatan ke institusi ilmu, penyertaan dalam persidangan dan bengkel dan menyertai program pertukaran pelajar antarabangsa.

Beliau dijangka menyaksikan majlis menandatangani MoU itu kerana beliau akan berada di Riyadh pada waktu yang sama bagi membentangkan ucap utama pada satu persidangan pendidikan anjuran Kementerian Pelajaran Arab Saudi.

"Saya berdoa dengan usaha ini kita akan berada di landasan yang betul untuk membangunkan cendekiawan Islam," katanya.

Rosmah berkata pendidikan menurut Islam adalah satu proses berterusan untuk merubah, melatih dan mendidik akal, jasmani dan rohani manusia berasaskan nilai-nilai murni Islam bagi melahirkan insan yang bertakwa.

"Islam menggalakkan kita mencungkil semua bakat yang dimiliki kanak-kanak untuk membentuk manusia yang mempunyai sikap hidup positif, produktif dan daya juang yang tinggi.

"Pembangunan modal insan bukan sahaja menekankan kepada kecemerlangan dalam melaksanakan tugas tetapi ia mesti dilakukan dengan penuh kebijaksanaan. Ilmu adalah prasyarat kepada kecemerlangan dan proses pencarian ilmu perlu dilaksanakan sejak kecil lagi.

"Program Permata Insan ini diharapkan dapat melahirkan insan yang bertakwa dan sekali gus menjadi seorang yang celik dan cerdik dalam pelbagai bidang ilmu selaras dengan tuntutan Al-Quran supaya kita mengkaji dan merenung kejadian alam," katanya.

Seramai 48 orang pelajar berumur lapan tahun terpilih menyertai perkhemahan Permata Insan yang julung kali diadakan di sini dari 11 hingga 25 Disember.

Mereka adalah daripada 9,000 orang pelajar dari seluruh negara yang telah ditapis setelah menduduki dua ujian.

Permata Insan adalah program berbentuk penjanaan yang memerlukan pengajaran dan pembelajaran yang berterusan.

Berteraskan pembelajaran Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris sebagai asasnya, anak-anak ini antara lainnya akan meneroka bidang ilmu seperti sains dan teknologi termasuk yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan