MAS Bekerjasama Dengan KLM

Diterbitkan: Rabu, 22 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) dan Dutch airline KLM bakal meneroka hubungan lebih erat antara satu sama lain, termasuk, rangkaian hubungan penerbangan dan jadual yang lebih baik, lebih banyak pilihan bagi pelanggan serta pengurangan kos.

Sebagai lanjutan daripada hubungan yang telah terjalin sejak 11 tahun lepas, kerjasama itu menerusi permeterian Memorandum Persefahaman di Shanghai menandakan kemajuan penting yang dicapai oleh kedua-dua syarikat penerbangan itu.

"Menerusi ini, pelanggan kami boleh mendapat faedah daripada rangkaian hubungan yang lebih baik, jadual yang lebih baik dan produk yang dipertingkat.

"Dengan hubungan lebih rapat, kami juga boleh mengurangkan kos. Ini akan kemudiannya membolehkan kami menyalurkan faedah itu kepada pelanggan kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Perjanjian tersebut dimeterai oleh Azmil dan Ketua Pegawai Eksekutif KLM, Peter Hartman.

MoU dengan KLM itu penting kerana Malaysia adalah destinasi transit ideal bagi pengunjung dari Australasia dan Eropah, kata Azmil.

"Kami berharap dapat memeterai perjanjian muktamad tidak lama lagi, bagi meningkatkan lagi bilangan penumpang dari rantau tersebut bukan hanya ke Malaysia tetapi ke destinasi kami di Australasia," katanya. Mengulas mengenai permeterian itu, Hartman berkata perkongsian tersebut merupakan peluang terbaik untuk meningkatkan jumlah destinasi di Australasia yang ditawarkan KLM kepada pelanggannya.

Kedua-dua Malaysia Airlines dan juga KLM mengendalikan penerbangan Amsterdam-Kuala Lumpur setiap hari. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan