Sikap Dan Masalah Teknikal Punca Kemalangan Bas

Diterbitkan: Selasa, 21 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata polis percaya kemalangan bas pesiaran yang mengorbankan 25 pelancong Thai dan dua rakyat tempatan semalam berpunca daripada sikap pemandu dan masalah teknikal bas berkenaan.

Beliau menafikan dakwaan kononnya kemalangan di Km15 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada 11.40 pagi itu disebabkan oleh tompokan minyak di laluan terbabit.

"Kami sampai awal di tempat kejadian, begitu juga dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, memang tempat kejadian itu kering. Tompokan minyak di situ ada selepas kita mengangkat bas itu," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau bagaimanapun berkata terpulang kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Puspakom dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersial untuk menentukan punca sebenar kemalangan itu.

Pihaknya turut mengesahkan setakat petang ini, mangsa yang maut adalah 27 orang iaitu 25 pelancong dari Thailand dan dua orang warga Malaysia iaitu pemandu bas dan pemandu pelancong.

Zakaria berkata pihak Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur sedang bekerjasama dengan pihak hospital dan polis bagi menguruskan kepulangan mangsa yang cedera dan mereka yang maut.

"Esok anggota keluarga mangsa akan tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini antara 11 pagi dan 12 tengah hari untuk pengecaman mangsa," katanya.

Beliau berkata Kedutaan Thailand sedang menguruskan kedatangan keluarga mangsa menaiki pesawat Tentera Udara Thai ke Lapangan Terbang Subang dan kemudian terus ke Ipoh untuk proses pengecaman.

Ditanya mengenai senarai nama yang maut yang tidak tepat, Zakaria berkata terdapat pihak lain yang mengeluarkan senarai berkenaan dan ia secara tidak langsung telah menimbulkan kekeliruan di kalangan pihak media dan orang awam.

Sebelum ini terdapat dua mangsa wanita iaitu Areena Songserm, 19, dan Darunee Songserm, 59, berada di dalam senarai yang maut, bagaimanapun sebenarnya masing-masing sedang menerima rawatan di wad biasa dan wad Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.

Berhubung laporan awal yang mengatakan terdapat pemandu kedua yang maut, beliau berkata pihaknya masih menunggu syarikat terbabit mengesahkan sama ada terdapat pemandu kedua atau sebaliknya.

"Kita tunggu syarikat itu datang untuk mengesahkan sama ada dalam masa yang sama pemandu pelancong itu juga merupakan pemandu kedua," katanya.

Beliau juga berkata Puspakom dan pihak lain yang bertanggungjawab baru memulakan siasatan mereka pada Selasa terhadap bas berkenaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan