Kerajaan Peruntuk RM90 Juta Perangi Penyakit Tidak Berjangkit

Diterbitkan: Isnin, 20 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM90 juta bagi memerangi penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, jantung diabetes dan kanser, yang menjadi antara pembunuh utama rakyat di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu akan digunakan mulai tahun depan sehingga tahun 2014.

"Menerusi peruntukan itu pelbagai program dan aktiviti akan dijalankan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai terutama golongan muda bagi memerangi penyakit tidak berjangkit seperti penyakit darah tinggi, jantung, pernafasan, diabetes dan kanser " katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam di sini, Isnin.

Statistik menunjukkan 37 peratus daripada kematian yang direkodkan di hospital kerajaan di seluruh negara disebabkan penyakit kronik yang tidak berjangkit dan 70 peratus pesakit luar yang datang ke klinik kerajaan menghidap penyakit itu, katanya tanpa menyatakan tempoh statistik berkenaan.

Katanya, kerajaan memandang serius mengenai perkembangan yang boleh menjejaskan ‘produktiviti’ negara jika tiada tindakan diambil.

"Kerajaan tidak boleh biarkan trend ini terus berlaku. Komuniti perlu diperkasakan untuk memerangi penyakit kronik yang terus meningkat dari tahun ke tahun," katanya.

Liow berkata, peningkatan kes penyakit kronik disebabkan faktor gaya hidup tidak sihat di kalangan masyarakat di negara ini, termasuk amalan pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam.

"Kita juga mahu jadikan 2011 sebagai tahun kesedaran kesihatan, ini merupakan usaha untuk menyedarkan rakyat tentang gaya hidup sihat bagi melahirkan masyarakat yang lebih sihat dan bahagia," katanya.

Sementara itu, katanya 12 kementerian yang menganggotai Jawatankuasa Kabinet Mengenai Penyakit Tidak Berjangkit akan bermesyuarat buat kali pertama dalam tempoh terdekat bagi mengubal dasar lebih berkesan berhubung penyakit tidak berjangkit.

"Jawatankuasa Kabinet yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan mengenal pasti dasar untuk merangka aktiviti dan program peringkat akar umbi membabitkan agensi 12 kementerian bagi memerangi penyakit tidak berjangkit," katanya.

Penubuhan jawatankuasa itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas, berikutan lebih ramai rakyat negara ini didapati menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, barah, kencing manis, radang paru-paru, kegagalan buah pinggang dan penyakit kronik lain. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan