Felda Terbit Siri Sitkom Berkisar Kehidupan Peneroka

Diterbitkan: Isnin, 20 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal muncul dengan sebuah sitkom sebanyak 13 episod mulai tahun hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sitkom yang telah siap menjalani penggambaran itu berkisar mengenai kehidupan peneroka di Felda.

Ahmad Maslan berkata, sitkom dibawah arahan pengarah sitkom terkenal, Othman Hafsham yang popular dengan siri Pi Mai Pi Mai Tang Tu akan menampilkan ramai barisan artis popular, antaranya pelawak Sabri Yunus.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan stesen televisyen mana akan menyiarkan sitkom itu nanti.

"Kita pernah menerbitkan sebuah filem bertajuk Bilut dan kini kita telah pun menyiapkan sitkom 13 episod sebagai salah satu medium untuk memberi pendedahan mengenai kehidupan di Felda.

"Bagaimanapun kita belum membuat keputusan untuk memberi nama kepada sitkom itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Media anjuran Felda di sini, Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain sitkom 13 episod, pihak Felda juga akan menerbitkan beberapa siri dokumteri mengenai Felda.

Ahmad Maslan turut mengumumkan, Felda akan mengadakan satu anugerah penghargaan kepada media mulai tahun hadapan sebagai mengiktiraf hasil penulisan rencana, dokumentari, blog dan foto terbaik oleh penggiat media.

"Sudah masanya pihak media dihargai kerana telah banyak membantu menaikkan reputasi Felda di mata masyarakat dengan hasil penulisan dan dokumentari yang baik," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pihak Felda akan membina sebanyak 250 gelanggang futsal terbuka di setiap cawangan Felda di negara ini untuk menggalakkan anak-anak Felda bergiat aktif dalam bidang sukan itu.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM25 juta untuk pembinaan gelanggang itu yang dijangka siap pada 2012.

"Terdapat 317 Felda di seluruh negara dan 67 daripadanya telah mempunyai gelanggang, manakala bakinya pula akan memiliki gelanggang mereka menjelang 2012," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan