330 Pelajar Cemerlang Terima Bantuan 1MDB RM16 Juta

Diterbitkan: Isnin, 20 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seramai 330 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 menerima bantuan kewangan dan geran akademik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM16 juta.

Surat tawaran itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini, Isnin.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran. Bantuan dan geran itu ditawarkan buat julung kalinya, hasil kerjasama Kementerian Pelajaran, JPA dan 1MDB.

Seramai 300 pelajar cemerlang SPM, yang menerima bantuan kewangan 1MDB, dipilih berdasarkan kriteria memperoleh minimum 10A serta berdasarkan taraf pendapatan keluarga ibu bapa mereka.

Para pelajar berkenaan akan menerima bantuan di antara RM7,500 hingga RM15,000 setiap tahun bagi sepanjang tempoh pengajian mengikut institusi pendidikan serta kursus yang dipilih.

Pemilihan para pelajar lulusan SPM itu dibuat dengan menggunakan metodologi komprehensif merangkumi penilaian ke atas pendapatan isi rumah serta memastikan bahawa mereka yang terpilih terdiri daripada pelajar pelbagai kaum di seluruh negara.

Bagi pemberian geran akademik 1MDB STPM pula, seramai 30 pelajar cemerlang yang memperoleh 5A1 menerima geran tersebut.

Para pelajar berkenaan akan menerima geran di antara RM15,000 hingga RM20,000 setiap tahun bagi sepanjang tempoh pengajian mengikut kursus yang dipilih.

Dalam ucapannya, Najib berkata kerajaan akan terus mengimbangkan prinsip meritrokrasi dan keadilan sosial dalam memberikan pengiktirafan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik.

Beliau berkata, dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, pengiktirafan bukan sahaja diberikan kepada mereka yang cemerlang malah kepada mereka yang mencapai prestasi akademik sederhana.

"Jangan kita nafikan (hak) mereka yang rendah sedikit pencapaian daripada pelajar yang cemerlang... daripada keluarga yang miskin dan sederhana terutama dari kawasan luar bandar atau daripada keluarga penjawat awam dari kumpulan sokongan.

"Kita berbangga dengan sistem pendidikan kita di mana semua pelajar tidak kira latar belakang akan berjaya jika mereka ingin belajar. Kita akan beri peluang sama rata kepada semua kaum di negara ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan