Seramai 2,000 Penduduk Pedalaman Sarawak Dapat Siaran RTM Tahun Depan

Diterbitkan: Ahad, 19 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LIMBANG: Lebih 2,000 penduduk kawasan pedalaman Sarawak akan menerima siaran Radio Television Malaysia awal tahun depan melalui satelit, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata alat penerima siaran menggunakan satelit akan diedarkan kepada para penduduk pedalaman itu mulai Januari ini.

Projek usaha sama dengan Astro itu mendapat persetujuan kerajaan negeri Sarawak, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Komuniti 1Malaysia peringkat negeri Sarawak di Dataran Jubli Emas di sini, Ahad.

Beliau berkata kerajaan negeri Sarawak telahpun mengenal pasti penduduk yang terlibat dan mereka akan dapat menerima siaran TV1, TV2 dan program Muzik Aktif yang diterbitkan oleh RTM.

Rais berkata lebih 300 menara telekomunikasi dirancang untuk didirikan di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi memperluaskan lagi program Kampung Wifi di negeri ini.

Katanya pelaksanaan program ini akan menjadi tumpuan utama kementeriannya khususnya untuk membolehkan lebih ramai rakyat terutamanya di kawasan luar bandar menikmati kemudahan internet.

Beliau berkata kira-kira 500 buah kampung lagi di negeri ini telah dikenal pasti untuk program tersebut.

Penggunaan Terminal Satelit Apertur Sangat Kecil (VSAT) akan digunakan di kawasan perkampungan yang tidak mempunyai talian telefon, katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan