Pegawai SPRM Yang Terlibat Dalam Kemalangan Dibenar Membawa Senjata Api

Diterbitkan: Sabtu, 18 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini semalam dibenarkan membawa senjata api.

Menurut SPRM, pegawai tersebut Penolong Penguasa Jackson Mingat anak Pinol yang bertugas di Bahagian Keselamatan dibenarkan membawa senjata api semasa menjalankan tugas.

Malah Mingat telah lulus ujian dan mematuhi kesemua prosedur dan peraturan yang ditetapkan bagi membawa dan mengendali senjata api milik SPRM, menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai sepucuk pistol dijumpai pada Mingat semasa kemalangan semalam.

Menurut suruhanjaya berkenaan, Mingat semasa kejadian itu dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menyerahkan pistol jenis Glock 9mm selepas selesai menjalankan tugas rasmi.

"Pistol tersebut telah dikembalikan kepada Ibu Pejabat SPRM oleh polis dalam keadaan sempurna sepertimana semasa senjata api tersebut diserahkan kepadanya," menurut SPRM.

SPRM berkata semua pegawainya dibenarkan membawa serta mengendalikan senjata api semasa tugas rasmi selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 6 Akta Senjata 1960 yang dibacakan bersama dengan Seksyen 10 Akta SPRM 2009.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan