Negara Sudah Penuhi Sasaran Basmi Kemiskinan - TPM

Diterbitkan: Sabtu, 18 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata negara sudah memenuhi sasaran membasmi miskin tegar tahun ini berlandaskan tindakan proaktif yang dibuat kerajaan bagi membantu golongan yang terlibat.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan laporan terakhir yang diterima menerusi Program Transformasi Kerajaan bagi mengurangi kemiskinan, pencapaian berkenaan cukup membanggakan.

"Walaupun kita tahu dalam soal ini kumpulan miskin tegar ini boleh dikatakan dinamik, tidak statik, kalau hari ini kosong, mungkin esok ada satu dua yang masuk dalam senarai golongan itu disebabkan uzur dan sebagainya.

"Tetapi, dalam ukuran sebenar hakiki, kita sudah memenuhi sasaran itu dan ini cukup membanggakan," katanya selepas menghadiri majlis gempur NKRA 1Azam (Akhirir Zaman Kemiskinan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Peringkat Daerah Muar, di sini, pada Sabtu.

Muhyiddin berkata walaupun kemiskinan dapat dibasmi, namun agenda kerajaan untuk terus membasminya secara relatif masih berterusan dengan memperbanyakkan pelbagai bidang latihan dan bimbingan yang bersesuaian bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin.

Katanya kerajaan antara lain turut berharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan mikro di kalangan wanita di negara ini yang kini dianggarkan kira-kira 4,000 orang di seluruh negara.

Sementara itu, dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri meminta golongan miskin tegar supaya tidak sentiasa bergantung bantuan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu berusaha menjana pendapatan sendiri bagi mengubah taraf hidup masing-masing.

Beliau berkata golongan berkenaan tidak boleh berbangga berada dalam kelompok miskin tegar dan perlu menggunakan kemudahan yang disediakan kerajaan terutamanya pelajaran sebagai jalan keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Ada yang kata lebih baik berada di dalam golongan miskin tegar sepanjang masa kerana mendapat bantuan kerajaan. Dalam golongan ini kita tidak boleh berbangga. Jangan kita fikir kerajaan sediakan bantuan, elok kita kekalkan. Ini tanggapan yang tidak tepat," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan