Dua Kematian Akibat Denggi Dicatat Dalam Tempoh 5 Hingga 11 Dis

Diterbitkan: Jumaat, 17 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejumlah 498 kes demam denggi dengan dua kematian dilaporkan dalam tempoh 5 hingga 11 Dis, menurun sebanyak 102 kes berbanding minggu sebelumnya.

Dua kematian yang dilaporkan dalam tempoh itu membabitkan seorang wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir yang meninggal dunia di Hospital Putrajaya dan seorang suri rumah berusia 29 tahun di sebuah hospital kerajaan di Kuantan.

"Jumlah kes mingguan yang dilaporkan itu adalah jumlah kes mingguan yang terendah pernah dilaporkan tahun ini," kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata bagaimanapun enam negeri mencatat peningkatan kes pada minggu lepas berbanding minggu sebelumnya iaitu Johor meningkat sembilan kes, Kedah dan Pulau Pinang (masing-masing empat kes) dan Negeri Sembilan, Terengganu dan Labuan (masing-masing meningkat satu kes).

Mohd Ismail berkata jumlah terkumpul kes dari bulan Januari hingga 11 Dis ialah 44,641 kes, meningkat sebanyak 15 peratus atau 5,660 kes berbanding 38,981 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Kes kematian akibat denggi juga meningkat sebanyak 59 peratus atau 49 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 132 kematian berbanding 83 dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Beliau berkata terdapat sejumlah 123 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 11 lokaliti panas dikenalpasti minggu lepas yang melibatkan 138 kes demam denggi.

"Empat atau 36 peratus daripada 11 lokaliti panas ini masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi," katanya.

Bagi penyakit Chikungunya, terdapat satu kes dilaporkan dalam tempoh 5 hingga 11 Dis dan jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak lima kes berbanding enam kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama minggu sebelumnya.

Dr Mohd Ismail berkata setakat ini jumlah kes terkumpul Chikungunya adalah sebanyak 804 kes, turun sebanyak 85 peratus atau 4,429 kes berbanding 5,233 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan