Industri Ikan Tuna Negara Gagal Capai Sasaran

Diterbitkan: Khamis, 16 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Industri ikan tuna negara gagal berkembang sebagaimana yang diharapkan apabila ia menyaksikan hasil tangkapan tahunan sebanyak 5% sahaja daripada jumlah yang disasarkan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, penyertaan nelayan laut dalam yang rendah daripada nelayan tempatan telah dikenalpasti sebagai punca kepada kegagalan ini.

“Tahun ini menandakan berakhirnya Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Industri Ikan Tuna Negara 2002 - 2010.

“Malangnya daripada apa yang dapat kita lihat, industri ikan tuna negara tidak membangun ke tahap yang kita sasarkan. Buat masa ini kita hanya membawa masuk 3,000 tan metrik ikan tuna setahun berbanding sasaran kita sebanyak 60,000 tan metrik,” ujar Ahamad Sabki selepas membuka Simposium Pembangunan Industri Ikan Tuna 2010 di sini.

Katanya, jumlah kapal ikan tuna Malaysia yang menerokai Lautan India juga tidak mencapai angka yang diharapkan - hanya 33 buah berbanding dengan 103 kuota yang diluluskan untuk projek ikan tuna negara.

“Pada tahun 2002, pihak berkuasa telah meluluskan 103 lesen kapal tunda yang akan berakhir menjelang 2012. Kebimbangan kita ialah jika kita tidak mencapai sasaran kuota ini adalah menjadi masalah untuk kita memohon peruntukkan yang lebih besar selepas ini.

Beliau menambah, negara seperti Taiwan, Korea, China, Jepun dan Sepanyol semua telah mengambil kesempatan untuk menangkap ikan tuna di Lautan India tetapi Malaysia yang sebenarnya jauh lebih dekat dengan lautan itu gagal untuk mencuri peluang tersebut.

Lautan India adalah merupakan habitat semulajadi ikan tuna dan merupakan yang kedua terbesar sumber ikan tuna dunia selepas Lautan Pasifik dan kini tidak kurang daripada 4,000 kapal tunda dari pelbagai negara memukat ikan tuna di perairan tersebut.

Katanya, Malaysia masih kekurangan pengetahuan teknologi tinggi dalam menangkap ikan tuna, kekurangan bot yang lebih besar untuk menampung tangkapan ikan tersebut serta kekurangan nelayan laut dalam yang terlatih.

“Ada kemungkinan kita perlu melihat bagaimana kita dapat menghantar nelayan kita menjalani latihan di negara-negara yang sudah biasa dengan tangkapan laut dalam seperti Taiwan dan Acheh (Indonesia).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan