Dewan Rakyat Lulus Usul Gantung Anwar, Karpal, Azmin & Sivarasa 6 Bulan

Diterbitkan: Khamis, 16 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi anggota Parlimen pembangkang daripada persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd.

Usul untuk menggantung Anwar diluluskan tanpa sebarang perbahasan apabila kesemua anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengemukakan usul kedua, untuk menggantung tiga yang lain, iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) kerana menghina dewan.

Terdahulu persidangan menjadi kecoh sebaik usul menggantung Anwar dikemukakan oleh Mohamed Nazri.

Perang mulut berlaku apabila wakil rakyat pembangkang mendakwa usul yang dikemukakan itu tidak adil kerana Anwar serta tiga lagi yang menghadapi tindakan sama tidak diberi peluang membela diri.

Wakil pembangkang juga mempamerkan kad manila yang mengandungi pelbagai perkataan antaranya 'BN sokong Apco', 'Selamatkan dewan', 'Hidup Ketua Pembangkang' dan 'Kangaroo'.

Pakatan pembangkang juga menjadikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang membicarakan kes Anwar-Apco 'mangsa serangan' kerana didakwa tidak memainkan peranan dengan adil.

Pandikar Amin yang tenang di kerusi Speaker, membiarkan kekocohan berterusan tetapi sesekali mencelah dengan mengatakan: "Keputusan saya muktamad."

Cubaan barisan pembangkang untuk mengetepikan usul berkenaan bagaimanapun gagal apabila kekecohan yang ditimbulkan itu menyebabkan Pandikar Amin memberi kata dua, iaitu sama ada untuk membahaskan usul penggantungan Anwar atau terus mengundi untuk meluluskannya.

Cadangan itu mencetuskan kemarahan wakil-wakil pembangkang yang melaungkan perkataan 'undur' dan 'zalim' ke arah Speaker itu, manakala Karpal mengugut untuk membawa kes itu ke mahkamah sebelum kesemua barisan pembangkang bertindak keluar dewan.

Usul untuk menggantung Karpal, Sivarasa dan Azmin kemudiannya dibahaskan beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan wakil Bebas tanpa sebarang gangguan.

Antara yang mengambil bahagian ialah Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju), selain pencelahan oleh Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu), Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) dan Zulkifli Nordin (Bebas-Kulim Bandar Baru) Abdul Rahman ketika membahaskan usul itu menafikan Anwar tidak diberi peluang untuk membela diri, sebaliknya Ketua Pembangkang itu tidak menggunakan peluang yang diberi.

Mencelah perbahasan Abdul Rahman, Shamsul Anuar berkata, apa yang dilakukan ialah budaya jalanan yang dibawa oleh pembangkang ke dewan itu sebagai taktik untuk melengah-lengahkan keputusan mengenai kes Anwar itu.

Ibrahim pula mahu media memainkan peranan untuk memperjelaskan apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini sebaik mungkin bagi membolehkan rakyat membuat penilaian terhadap Anwar dan pakatan pembangkang.

"Saya tidak memihak kepada mana-mana tetapi rakyat harus pertimbangkan dengan cara yang betul. Ketua Pembangkang ini tidak ada pilihan untuk survival politik beliau, jadi dia gunakan cara ini.

"Jadi rakyat harus diberitahu adakah tuduhan 1Malaysia sama dengan Apco itu benar, adakah betul Anwar tidak diberi peluang untuk membela diri, dan apakah usul ini dikemukakan untuk menganiayai Anwar," katanya.

Zulkifli pula membangkitkan pendedahan mengenai Anwar termasuk oleh Karpal sendiri yang mengakui tahu mengenai salah laku seks Ketua Pembangkang itu dan pernah meminta Anwar bertaubat dan berundur selaku Ketua Pembangkang.

"Selepas tak jadi 16 September, Bukit Gelugor (Karpal) minta Anwar bertaubat. Jadi dengan semua ini boleh tak kita kata DAP atau Karpal dengan pengetahuan (perlakuan liwat) telah mengugut Anwar untuk agenda sempit mereka," katanya ketika mencelah perbahasan Ibrahim.

Bersetuju dengan kenyataan itu, Ibrahim berkata, pembangkang sememangnya sedia maklum mengenai perlakuan Anwar tetapi berlagak seolah-olah tidak mengetahui perkara itu.

Bung Moktar pula berkata isu penggantungan anggota dewan merupakan perkara biasa malah turut berlaku di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Kedah.

Mohamed Nazri yang sepatutnya menggulung perbahasan usul itu, melangkaui proses berkenaan dan meminta usul menggantung tiga anggota parlimen pembangkang itu diluluskan.

"Tidak perlulah hendak gulung, orang yang nak digulung pun tak ada, nak lipat pun tak boleh. Jadi saya ucapkan terima kasih dan kita teruskan lulus usul ini," katanya yang membacakan usul itu untuk kali ketiga sebelum diluluskan dengan suara majoriti. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan