Sektor Pertanian Tidak Boleh Dipinggirkan, Kata Najib

Diterbitkan: Rabu, 15 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bidang pertanian tidak boleh dipinggirkan malah perlu dimajukan sepenuhnya bagi menjayakan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata kerajaan ingin memajukan sektor pertanian serta menggembeleng segala potensi yang ada supaya kemajuan sektor yang amat penting lagi strategik itu adalah selaras dengan agenda negara.

"Sejajar dengan usaha memajukan pertanian maka bidang pertanian juga mesti menjadi satu sektor yang menjayakan (matlamat ke arah menjadi negara) pendapatan tinggi atau sederhana tinggi untuk mencapai matlamat induk," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) ke-37 di sini Selasa malam.

Katanya, bidang pertanian adalah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di mana disasarkan untuk meningkatkan sumbangan Pendapatan Negara Kasar daripada RM20 bilion sekarang kepada RM49 bilion menjelang 2020, yang tidak termasuk tanaman industri.

Ke arah pencapaian itu, Najib menggariskan beberapa elemen penting untuk memajukan bidang pertanian, antaranya mesti mewujudkan transformasi, daripada bidang berproduktiviti rendah kepada produktiviti tinggi. Selain itu, Perdana Menteri berkata transformasi dalam bidang pertanian perlu berlaku dari segi penggunaan teknologi iaitu daripada menggunakan teknologi rendah kepada aplikasi teknologi tinggi.

Katanya perubahan lain ialah daripada satu bidang yang tidak dapat memberi pulangan tinggi kepada menjadikan bidang pertanian suatu bidang yang boleh menjanjikan pendapatan yang semakin memuaskan.

"Inilah antara perubahan paradigma yang mesti dilakukan kalau kita nak mencapai apa yang digariskan dalam Model Baru Ekonomi," katanya.

Menurut Najib pasaran dan permintaan luar negara untuk pelbagai produk pertanian seperti buah-buahan tempatan memang besar tetapi, pengeluaran mahupun bekalan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan tersebut.

"Kalau nak memajukan pertanian kita kena lihat setiap segi...apa kekangannya. Apa sahaja yang patut, kita perlu lakukan, supaya dalam 10 tahun ini berlaku perubahan besar dalam landskap pertanian negara," katanya.

Najib berharap NAFAS dapat mengkaji secara mendalam bagaimana ia dapat menyumbang ke arah menjayakan transformasi ekonomi negara serta memajukan bidang pertanian yang boleh melonjakkan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

Dalam ucapannya, Najib juga berkata beliau akan mengkaji saranan NAFAS agar 1.4 juta saham Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dapat diambil alih oleh NAFAS.

"Saya akan berbincang dengan EPU tapi saya tak ada apa-apa halangan...nampak cadangan ini baik supaya NAFAS dapat mainkan peranan lebih besar dalam sebarang kegiatan yang boleh memberi keuntungan kepadanya," katanya.

Katanya, beliau percaya dengan ini maka banyak faedah yang boleh diperolehi oleh NAFAS serta ahli-ahlinya.

Sementara itu, Pengerusi NAFAS Tan Sri Abdul Rashid Abd. Rahman meminta kerajaan agar dapat memberikan 1.4 juta saham yang tidak diambil oleh Bumiputera semasa penawaran awal dan masih dipegang oleh EPU diberikan kepada pertubuhan itu dengan harga par value iaitu RM1 seunit.

Katanya penstrukturan semula pemegangan saham dalam BERNAS telah menjadikan pemilikan saham NAFAS secara terus hanya 3.4 peratus sahaja.

Di majlis ini, Perdana Menteri turut melancarkan baja MPOB F3 iaitu produk keluaran kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, milik NAFAS yang terletak di Gurun, Kedah.

Baja tersebut sesuai untuk tanaman kelapa sawit di kebanyakan jenis tanah termasuk di kawasan tanah gambut.

Najib turut menyampaikan Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang tahun 2010 kepada anak-anak ahli pertubuhan ini sebagai mengiktiraf kecemerlangan mereka di peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Sejumlah 770,000 orang masyarakat peladang bernaung di bawah pertubuhan peladang kebangsaan itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan