Sime Darby Tak Boleh Dedah Hasil Laporan Audit Forensiknya Atas Nasihat Penasihat Undang-undang - PM

Diterbitkan: Selasa, 14 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberitahu Dewan Rakyat, Selasa, Sime Darby buat masa ini tidak dapat mendedahkan hasil laporan audit forensiknya atas nasihat penasihat undang-undangnya.

Dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju), Najib berkata, Sime Darby hanya akan membuat pengumuman mengenai perkara itu selepas tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab menyebabkan syarikat gergasi perladangan dan hartanah berkenaan kerugian RM2.09 bilion.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, kos pembinaan bangunan Pusat Perkhidmatan Sumber Kewangan Bank Negara Malaysia (Sasana Kijang) telah bertambah sebanyak 10.8% daripada kos asalnya yang berjumlah RM420.1 juta.

Ini kerana kata Najib, terdapat masalah dalam menyiapkan bangunan berkenaan oleh kontraktor asal yang menyebabkan pihak Bank Negara terpaksa melantik kontraktor baru untuk menyiapkan baki bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut sepatutnya siap pada bulan Ogos 2007 tetapi Bank Negara telah menamatkan perkhidmatan kontraktor asal dan terpaksa melantik kontraktor baru katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan).

Menurut Najib, bangunan itu kini sudah 95% siap dan dijangkakan siap sepenuhnya Mac tahun depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan