Siasatan Kerugian Sime Darby Tidak Jejas Objektif NKRA - Najib

Diterbitkan: Selasa, 14 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Siasatan kerugian bahagian tenaga dan utiliti Sime Darby Bhd yang dirahsiakan, tidak akan menggagalkan usaha kerajaan memerangi rasuah yang ditetapkan sebagai agenda utama Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kaedah siasatan ke arah penyelesaian isu itu dilaksanakan secara tersusun serta melibatkan kerjasama erat antara pihak berkuasa dan syarikat berkenaan.

"Sime Darby telah melantik penasihat perundangan kanan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang didapati melakukan kemungkaran tugas dan tanggungjawab.

"Jika dilihat kepada cara masalah kerugian bahagian tenaga dan utiliti itu ditangani, objektif NKRA itu boleh dicapai," katanya dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini Selasa.

Wee mahu penjelasan bagaimana objektif NKRA boleh dicapai apabila laporan forensik mengenai kerugian Sime Darby berjumlah RM2.09 bilion, dirahsiakan sedangkan Menteri Kewangan II memberikan jaminan kepada Dewan Rakyat pada Jun 2010 bahawa laporan siasatan forensik jururunding bebas KPMG dan Deloitte akan dikemukakan dalam Dewan Rakyat apabila selesai.

Menerusi NKRA yang dilancarkan Perdana Menteri pada Ogos tahun lepas, kerajaan telah menetapkan agenda bagi memerangi rasuah sebagai teras utama.

Sime Darby pada 20 September lepas telah mengumumkan mengenai penemuan audit forensik ke atas kerugian yang berlaku dalam beberapa projek di bawah bahagian tenaga dan utiliti dengan perunding perundangan dan forensik menemui kes prima facie yang berkemungkinan terdapat kemungkaran tugas dan tanggungjawab serta perlakuan yang tidak sepatutnya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata susulan itu, Lembaga Pengarah Sime Darby telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta memberi taklimat kepada Suruhanjaya Sekuriti mengenai penemuan audit forensik itu.

Katanya Sime Darby juga turut membuat pengumuman susulan pada 22 September lepas seperti yang diminta oleh Bursa Saham.

"Bagi tujuan menjaga kepentingan Sime Darby, penasihat undang-undang telah menasihatkan Sime Darby supaya merahsiakan maklumat terperinci laporan audit forensik dan bentuk tindakan undang-undang yang diambil, dan Sime Darby akan membuat pengumuman yang berkaitan apabila tindakan undang-undang selesai kelak," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam jawapan bertulis kepada Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) bertanyakan jumlah kereta Proton mengikut jenama yang dieksport, berkata sebanyak 40,926 unit kereta keluaran Proton dieksport sejak 2008 hingga Mei tahun ini, dengan tiga model mencatatkan jumlah pasaran tertinggi iaitu Gen-2, Persona dan Savy.

Daripada jumlah itu, eksport Gen-2 sebanyak 11,714 unit, diikuti Persona dan Savy, masing-masing 9,595 unit dan 5,240 unit.

Ketiga-tiga model Proton itu juga mencatatkan jumlah eksport paling tinggi pada 2008 iaitu Gen-2 sebanyak 7,817 unit, Persona (5,419) dan Savy 2,195 unit.

Beliau berkata jumlah eksport ketiga-tiga model Proton itu mencatat penurunan pada tahun berikutnya apabila hanya berupaya mengeksport 2,813 unit Gen-2, manakala Persona dan Savy masing-masing sebanyak 2,738 dan 2,091 unit.

Pada tempoh yang sama, lain-lain model yang turut dipasarkan ialah Saga, Satria Neo, Wira, Waja dan Arena, dengan hanya sebuah model Perdana dieksport.

Menjawab soalan lain daripada Hee, Najib berkata pembinaan bangunan baharu Pusat Sumber Perkhidmatan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), yang turut dikenali sebagai "Sasana Kijang" kini mencapai tahap 95 peratus kemajuan dan pembinaannya dijangka siap sepenuhnya pada Mac tahun depan.

Katanya pembinaan bangunan yang pada asalnya dijadual siap pada Ogos 2007 dengan kos asal sebanyak RM420.1 juta itu, kini meningkat sebanyak 10.8 peratus berasaskan harga semasa.

"Bagaimanapun, berikutan masalah berkaitan pembinaan bangunan itu, BNM telah menamatkan perkhidnmatan kontraktor asal dan melantik kontraktor baharu untuk menyiapkan bangunan itu mengikut konsep "kontraktor penguruan," katanya.

Najib berkata bangunan baharu itu akan menempatkan ruang pejabat, pusat pengurusan pengetahuan, pusat latihan dan muzium kewangan, untuk Bank Negara.

"Sebahagian bangunan itu juga akan digunakan sebagai ibu pejabat untuk institusi-institusi kewangan antarabangsa iaitu Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dan Pusat Latihan dan Penyelidikan Bank Pusat Asia Tenggara," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan