Mata Lebam: Gani Patail Tidak Terlibat Lantik Panel

Diterbitkan: Selasa, 14 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak terlibat dalam pelantikan anggota panel bebas bagi menyiasat salah laku berhubung kes "mata lebam" Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira 12 tahun lepas.

"Dalam kes ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail merupakan subjek dalam siasatan tersebut dan dengan itu adalah tidak wajar atau adil bagi dirinya untuk melantik ahli panel bebas tersebut," katanya semasa memberi penjelasan kementerian ekoran dakwaan bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbukanya sebelum ini.

Mohamed Nazri berkata dalam keadaan Abdul Gani tidak berupaya untuk bertindak sebagai Pendakwa Raya, Peguam Cara Negara telah mengambil alih kuasa untuk bertindak sebagai Pendakwa Raya.

"Oleh yang demikian, berdasarkan penjelasan di atas, pelantikan ahli panel bebas oleh Peguam Cara Negara adalah sah," katanya.

Pelantikan tiga anggota panel bebas itu dibuat oleh Peguam Cara Negara yang juga bertindak sebagai pendakwa raya kes berkenaan, kata Mohamed Nazri.

Dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada 22 November lepas, Mat Zain mempertikai pelantikan anggota panel bebas itu yang ditubuhkan untuk menilai hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dakwaan salah laku Abdul Gani dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dalam kes mata lebam Anwar.

Penjelasan itu juga dibuat Mohamed Nazri bagi menjawab usul Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk memotong RM10 daripada gaji Peguam Negara pada 9 November lepas atas beberapa isu termasuk dakwaan bahawa Abdul Gani memberi keterangan palsu dalam siasatan insiden 'mata lebam' Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu pada tahun 1998.

Dalam pada itu, ketika menjelaskan kedudukan Mat Zain dalam keputusan panel bebas, Mohamed Nazri menegaskan tidak ada sebab bagi panel bebas itu untuk membersihkan nama Mat Zain kerana beliau bukan menjadi subjek penilaian siasatan oleh panel berkenaan.

"Subjek siasatan SPRM ialah Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan. Datuk Mat Zain dan Doktor Abdul Rahman Yusof, yang dinyatakan dalam laporan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi subjek siasatan oleh SPRM.

"Hanya percakapan mereka dirakamkan sebagai saksi. Oleh yang demikian, apabila hasil siasatan SPRM dikemukakan kepada panel bebas berkenaan, Datuk Mat Zain tidak menjadi subjek penilaian siasatan oleh panel bebas," jelas Mohamed Nazri.

Mohamed Nazri berkata, panel bebas itu tidak mempunyai tanggungjawab untuk membuat apa-apa penilaian ke atas mana-mana orang yang tidak termasuk dalam bidang kuasanya.

"Lembaga Penasihat SPRM melalui surat jawapan kepada Datuk Mat Zain bertarikh 23 Julai 2009 telah menegaskan bahawa tiada keperluan bagi panel bebas ataupun SPRM untuk membersihkan nama beliau memandangkan beliau bukan subjek siasatan SPRM," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan