Setiausaha Agung Wanita MCA Angkat Sumpah Sebagai Senator - Berita Semasa | mStar

Setiausaha Agung Wanita MCA Angkat Sumpah Sebagai Senator

Diterbitkan: Isnin, 13 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung pergerakan Wanita MCA Kebangsaan Chew Lee Giok mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara manakala dua lagi mengangkat sumpah bagi lantikan kali kedua pada sessi persidangan Dewan Negara di sini Isnin.

Chew yang berasal dari Sarawak dilantik sebagai anggota baru Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun.

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan disaksikan oleh anggota dewan berkenaan.

Chew, 44, yang memegang jawatan Pengarah MSI Management Consultancy Sdn Bhd sejak 1997 juga merupakan Ketua Wanita MCA Selangor bagi tahun 2010-2011.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Kepujian) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta pernah menjadi anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Dua lagi senator yang dilantik semula adalah Senator Pau Chiong Ung dan Senator Khoo Soo Seang.

Pau, 58, yang merupakan bekas Penolong Bendahari Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak dilantik sebagai senator buat kali pertama pada 9 Oktober 2008.

Sementara itu Koo, 65, yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor merupakan anggota Jawatankuasa Pusat MCA, dan beliau mula dilantik mengganggotai Dewan Negara pada 9 Oktober 2007. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan