Persekolahan Anak Ditolak Ekoran Ibu Bapa Berkahwin Di Negara Jiran

Diterbitkan: Isnin, 13 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KULIM: Dilaporkan berlaku kes persekolahan kanak-kanak ditolak di Baling dan daerah lain yang bersempadan dengan Thailand, ekoran ibu bapa mereka berkahwin di negara jiran.

Pengerusi Biro Pendidikan Umno Kedah, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata Guru Besar sekolah kerajaan telah menolak dan enggan menerima anak-anak yang ibu mereka terdiri dari golongan berkenaan.

"Akibatnya bagi waris yang agak berada, mereka boleh juga menyekolahkan anak-anak mereka yang ditolak daripada sekolah kerajaan ke Sekolah Agama Rakyat sebagai alternatif, tetapi bagi waris yang tidak mampu, anak-anak mereka akan tercicir," katanya di sini Isnin.

Beliau menyampaikan hadiah kepada 250 pelajar dalam kawasan Parlimen Kulim/ Bandar Baharu yang lulus cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dekat sini.

Sehubungan itu, Abdul Aziz merayu kepada Kementerian Pelajaran supaya memberi kelonggaran kepada kanak-kanak dalam kes tersebut agar mereka dapat meneruskan persekolahan di sekolah kerajaan.

Beliau juga berkata Biro Pendidikan Umno Kedah mendapat peruntukan RM1.2 juta tahun depan bagi membantu pembelajaran pelajar di Kedah seperti dari segi pembiayaan kelas tuisyen. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan