Malaysia Boleh Capai Dewasa 100 Peratus Celik Huruf Pada 2012

Diterbitkan: Isnin, 13 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Malaysia boleh mencapai sasaran celik huruf 100 peratus pada kalangan dewasanya lebih awal pada 2012, berbanding sasaran pada 2016.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata ia berdasarkan usaha agresif dan pencapaian program Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) yang dilaksana Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

"Bilangan golongan buta huruf di negara kita ini sudah tidak ramai. Sasaran kita untuk mengenal pasti golongan buta huruf ini dibuat hingga jauh ke pedalaman termasuk di rumah-rumah panjang di Sarawak.

"Kajian (terbaru) yang dijalankan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) menunjukan bahawa pada masa ini Malaysia telah mencapai 96 peratus celik huruf di kalangan orang dewasa," katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Beliau sebelum itu mewakili menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merasmikan Hari Literasi Luar Bandar Peringkat Kebangsaan di sini.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kewangan Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi dan Adun Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat.

Mengulas lanjut, Hasan berkata Malaysia berada di hadapan berbanding beberapa negara jiran dalam pembasmian buta huruf, dan di tempat kelapan berdasarkan laporan Unesco.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kemas Datuk Puhat Mat Nayan dalam ucapannya berkata sehingga tahun ini, terdapat 25 kelas bagi golongan buta huruf disediakan di seluruh Sabah dan Sarawak.

Daripada jumlah itu 10 berada di Sabah manakala bakinya di Sarawak, kata beliau. Program PLF merupakan pendekatan Kemas untuk membantu golongan dewasa yang buta huruf menguasai 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) menerusi kelas bagi orang dewasa khususnya di pedalaman.

Kelas celik huruf untuk orang dewasa di Sabah dan Sarawak dikendalikan di bawah Kemas manakala di Semenanjung dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan