MCA Nafi Tidak Sokong Ng Yen Yen

Diterbitkan: Ahad, 12 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RAUB: Kepimpinan MCA Raub hari ini menangkis khabar angin yang bertiup kencang sejak kebelakangan ini bahawa mereka tidak menyokong Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden parti Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai selepas bermesyuarat dengan bahagian itu di sini.

"Kita mahu hentikan khabar angin mereka yang tidak bertanggungjawab itu. Khabar angin itu tidak benar sama sekali bahawa MCA Bahagian Raub tidak menyokong Dr Ng," kata Liow kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Ahad.

Ng yang juga Anggota Parlimen Raub turut hadir pada mesyuarat yang disertai Timbalan Pengerusi MCA negeri Datuk Khai Mun, Ketua MCA Raub Datuk Lam Kam Sang dan anggota jawatankuasa bahagian itu.

Mengulas lanjut, Liow yang juga Pengerusi MCA Pahang berkata khabar angin itu dilakukan oleh 'orang luar' yang sengaja mahu memecah-belahkan MCA bahagian tersebut.

Desas-desus mengenai perkara itu sudah lama tersebar pada kalangan pemimpin MCA dan juga Barisan Nasional (BN) tempatan, namun sejak kebelakangan ini ia semakin hangat diperkatakan.

Difahamkan antara lain khabar angin itu menyatakan barisan kepimpinan MCA Raub tidak akan menyokong pemilihan semula Ng untuk mewakili kerusi Parlimen kawasan tersebut.

Sementara itu, Lam menegaskan bahagian itu akan memberi sokongan penuh kepada Ng untuk mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya sejak mewakili kerusi itu pada pilihan raya umum 1999, Ng telah bekerja keras menjayakan pelbagai aspek pembangunan di daerah berkenaan.

Ia terbukti menerusi sokongan rakyat kepada beliau pada pilihan raya umum 2008, sekalipun Dewan Undangan Negeri Tras di bawah kawasan Parlimen itu jatuh ke tangan pembangkang, kata Lam yang turut mengecam tindakan pihak yang memulakan khabar angin tersebut.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan