Kerajaan Mahu GLC Tumpu Pelabuhan Industri Tertentu

Diterbitkan: Ahad, 12 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta mengurangkan pegangan saham di Bursa Malaysia (BM) dengan memberi tumpuan melebarkan pelaburan dalam industri pembuatan, teknologi maklumat dan perkhidmatan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kerajaan mahu mereka memberi tumpuan kepada ekonomi sebenar dan memberi laluan kepada pihak swasta dan masyarakat bagi melabur di BM.

"Kerajaan sedar akan saiz BM yang terlalu kecil dan jumlah pegangan besar GLC menyebabkan kurangnya kecairan yang ada memandangkan GLC mempunyai dana yang cukup banyak untuk memegang saham-saham ini.

"Kita mahu penyertaan pihak swasta kerana mereka mahukan keuntungan yang cepat berbanding GLC," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Strathisla, di sini, Ahad.

Ahmad Husni berkata langkah kerajaan mengarahkan GLC supaya berubah daripada perniagaan yang berkonsepkan sistem kewangan kepada ekonomi sebenar itu bertujuan memastikan transformasi ekonomi dan Model Baru Ekonomi (MBE) berjalan lancar.

Beliau berkata kerajaan telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada GLC dan bagi mencapainya mereka perlu memainkan peranan dalam sektor-sektor strategik bagi menarik penyertaan pihak swasta terlibat secara langsung dalam transformasi ekonomi.

Jelasnya, pada kesimpulannya syarikat GLC perlu menjana keuntungan dari urusan yang dijalankan dan tidak mengalami kerugian menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban tersebut.

"Kita mensasarkan menerima pelaburan sebanyak RM1.3 trilion bermula tahun hadapan sehingga 2020 dan dari jumlah tersebut 92 peratus adalah penyertaan swasta dan bakinya adalah penyertaan kerajaan yang menetapkan dasar dan halatuju," katanya.

Sebagai contoh, Ahmad Husni berkata GLC perlu memainkan peranan dalam bidang baru seperti akuakultur iaitu bidang yang mempunyai potensi yang amat besar dan memberi keuntungan berlipat kali ganda.

Katanya, GLC boleh memainkan peranan menarik pelabur untuk menceburi bidang berkenaan dan ia akan dapat membantu memastikan ekonomi negara berkembang dengan baik di masa depan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan