Enam Sesat Dalam Hutan Ditemui Hari Ini

Diterbitkan: Ahad, 12 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Sekumpulan enam orang, termasuk dua wanita, terpaksa tidur semalaman di dalam hutan selepas sesat semasa meredah hutan di Gunung Chabang, Simpang Pulai, dekat sini.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang berusia lingkungan 20-an dan 30-an itu ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat kira-kira 1.30 petang, Ahad.

Mangsa ialah Jeanne Kong yang bekerja sebagai seorang akauntan, Yaul Ken Men (chef), Wu Xiang (arkitek) serta tiga pelajar iaitu Michelle Kong, Desmond Koh dan Teo Guon Yew.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata mangsa bersama empat lagi rakan mereka yang tiba dari Kuala Lumpur, memasuki hutan itu bagi aktiviti pendakian dan perkhemahan pada kira-kira 9 pagi semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat markas pasukan penyelamat di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini, beliau berkata mereka kemudian berpecah kepada dua kumpulan semasa memasuki hutan.

"Kumpulan pertama terdiri daripada empat pendaki, termasuk seorang daripada mereka yang pakar mengenai hutan berkenaan, manakala kumpulan kedua terdiri daripada enam mangsa yang hilang.

"Kumpulan pertama berjaya tiba di tapak perkhemahan mereka di kawasan pertengahan gunung berkenaan, tetapi kumpulan kedua dikatakan hilang kerana tersesat," katanya.

Azisman berkata seorang daripada mangsa yang tersesat itu sempat menghubungi pihak bomba sebelum telefon bimbitnya kehabisan bateri.

Beliau berkata sehubungan itu, operasi mencari dan penyelamat dilancarkan yang terdiri daripada pasukan bomba, polis, Pasukan Gerakan Am dan Jabatan Pertahanan Awam.

Katanya, isyarat daripada telefon bimbit mangsa membantu pasukan berkenaan mengesan mereka.

Ketika ditemui, beliau berkata dua daripada mangsa cedera ringan dan kesemua mereka keletihan serta lemah kerana hanya membawa air dan biskut sebagai bekalan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan