Ketua Polis Negara Dahului Senarai Penerima Darjah Dan Bintang Kebesaran Selangor

Diterbitkan: Sabtu, 11 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mendahului senarai 114 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-65 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sabtu.

Beliau menerima Darjah Kelas Pertama - Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran "Datuk Seri" daripada baginda pada istiadat menghadap dan pengurniaan darjah kebesaran itu di Istana Alam Shah di sini.

Turut menerima darjah kebesaran S.P.M.S ialah Canselor Universiti Kolej Sedaya International (UCSI) yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

Anakanda baginda Tengku Amir Shah yang menerima Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran Datuk Setia" bagaimanapun tidak berangkat ke majlis itu kerana berada di luar negara.

Speaker Dewan Negeri Selangor Teng Chang Khim dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Md Nasir Md Arshad menerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Datuk.

Ketua Pegawai Eksekutif I-Berhad Eu Hong Chew dan bekas ketua pasukan bola sepak Malaysia di Sukan Olimpik di Jerman pada 1972 dan Sukan Asia di Tehran, Iran pada 1974 Datuk M.Chandran pula masing-masing menerima Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Datuk.

Bekas penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris, Perkhidmatan Berita Ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mendiang Lim Chong yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 26 November lepas menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).

Mendiang diwakili oleh anak lelakinya Lim Yue Seng yang turut ditemani ibunya Jan Lim.

Turut tersenarai sebagai penerima A.M.S ialah wartawan The Star Edward Rajendra.

Istiadat itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, barisan Exco kerajaan negeri dan pembesar negeri. Menteri Besar kemudian menyampaikan ucapan taat setia kepada baginda Sultan bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat Selangor diikuti ucapan Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah mewakili waris dan kerabat Diraja, para anggota Dewan Diraja, Orang-Orang Besar Istana dan Orang-Orang Besar Daerah.

Istiadat pengurniaan hari ini melibatkan dua penerima yang membawa gelaran "Datuk Seri", seorang penerima yang membawa gelaran "Datuk Setia", 27 penerima yang membawa gelaran "Datuk" bagi lelaki dan "Datin Paduka" bagi wanita iaitu terdiri daripada 11 penerima darjah kebesaran D.P.M.S dan 16 penerima darjah kebesaran D.S.I.S.

Seramai 14 orang menerima darjah kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S), 18 orang menerima darjah kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S), 26 orang menerima darjah kebesaran A.M.S, 20 orang menerima darjah kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) dan tujuh orang menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C).

Sementara itu, istiadat hari ini tidak membabitkan pelantikan tiga Jaksa Pendamai (J.P) iaitu bekas Ahli Dewan di-Raja Selangor yang juga bekas Orang Besar Daerah Petaling Datuk Seri Indah Di Raja Abu Bakar Abdul Hamid, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Kementerian Sumber Manusia Tan Sri Lee Lam Thye dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor Puan Sri Thamayanthi Dewi Ampikaipakan.

Pelantikan yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2011 dan istiadat mengangkat sumpah jawatan serta pengurniaan surat tauliah pelantikan akan diadakan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan