88 Calon Rebut 15 Jawatan Parti DAP Pulau Pinang

Diterbitkan: Sabtu, 11 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seramai 88 calon akan bertanding untuk menduduki barisan 15 jawatankuasa parti negeri pada konvensyen DAP Pulau Pinang di Dom Komtar di sini Ahad.

Jumlah calon itu merupakan rekod yang sebahagian besar calon merupakan ahli-ahli baru yang menyertai parti selepas DAP mengusai Pulau Pinang pada pilihan raya umum 2008, kata Setiausaha Agung DAP Pulau Pinang, Koay Teng Hai.

"Sesetengah calon ini salah faham bahawa dengan mereka memegang jawatan dalam parti, akan membolehkan mereka secara automatik menjadi calon untuk pilihan raya umum akan datang, tetapi hakikatnya bukan begitu.

"Jangkaan seperti ini menunjukkan mengapa begitu ramai yang bertanding untuk menjadi antara 15 ahli jawatankuasa yang dipilih," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau menjelaskan bahawa calon DAP pada pilihan raya umum adalah ditentukan dalam perbincangan antara jawatankuasa parti negeri dan pemimpin DAP peringkat kebangsaan.

Anggota jawatankuasa DAP Pulau Pinang kini dipengerusikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus yang juga Anggota Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow.

Menurut Koay yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, pendaftaran calon akan bermula pada 8.30 pagi sementara proses pengundian akan bermula pada 12 tengah hari hingga 2 petang yang disusuli dengan proses pengiraan undi.

Keputusan dijangka diketahui kira-kira 5 petang.

"Kami menjangkakan kira-kira 80 peratus daripada 694 perwakilan beserta 200 pemerhati akan menghadiri konvensyen.

"Bagi mengelakkan kekeliruan ekoran jumlah calon yang banyak, kami akan melekatkan nama dan nombor calon yang dicetak pada baju mereka," katanya.

Koay berkata selepas keputusan diketahui, mesyuarat agung luar biasa akan diadakan bagi membentuk barisan kempimpinan negeri yang baru di kalangan 15 calon yang terpilih itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan